Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aset rampasan waris kesultanan Sulu sudah dilupuskan - Petronas
Diterbitkan:  Jul 13, 2022 12:30 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bahawa dua daripada anak syarikatnya telah menerima perintah rampasan di Luxembourg pada Isnin, 11 Julai, tetapi menjelaskan bahawa kedua-dua aset itu sudah dillupuskan.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022.

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya,” kata syarikat ini dalam satu kenyataan.

Syarikat minyak milik negara itu berkata, ia menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini.

Sementara itu, portal The Edge melaporkan Petronas mempunyai 15.5 peratus pegangan dalam projek gas asli Shah Deniz di Azerbaijian, namun syarikat minyak itu pada Februari menjual 9.99 peratus pegangan saham dalam projek itu kepada syarikat minyak dan gas Rusia Lukoil untuk kira-kira AS$1.45 bilion.

Namun menurut laporan itu, tidak jelas bila tepatnya Petronas melepaskan baki 5.51 peratus pegangan dalam projek itu.

Semalam, portal Financial Times (FT) melaporkan bahawa kedua-dua anak syarikat itu telah dirampas oleh waris kesultanan Sulu berhubung pertikaian undang-undang AS$15 bilion (kira-kira RM66.55 bilion) dengan kerajaan Malaysia hasil daripada perjanjian yang ditandatangani 144 tahun yang lalu.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Peguam bagi pihak yang menuntut telah berhujah bahawa memandangkan Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York), maka anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan sekiranya jumlah yang dituntut tidak dibayar.


BACA: PANDUAN KINI - 'Waris Sultan Sulu boleh sita aset Malaysia di 167 negara'



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS