mk-logo
Berita
Lelaki meninggal dalam lokap lepas dua minggu jatuh hukum
Diterbitkan:  May 9, 2022 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia tidak sampai dua minggu selepas dia dijatuhkan hukuman penjara lima bulan kerana kesalahan dadah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman Azri Ahmad (gambar, bawah) berkata lelaki yang sepatutnya menjalani hukuman di penjara Kluang itu ditempatkan sementara di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam sehingga 10 Mei ini.

Dia disabitkan pada 27 April lalu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah terlarang.

"Pada 8 Mei 2022, jam 8.35 pagi, anggota bertugas lokap memaklumkan bahawa banduan tersebut berada dalam keadaan lemah dan telah menghubungi pihak hospital.

"Pembantu pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Masai, Johor yang tiba membuat pemeriksaan telah mengesahkan kematian banduan tersebut pada jam 9.35 pagi," kata Azri pada satu kenyataan.

Azri berkata unit siasatan jenayah dan kematian dalam tahanan, Jips Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS