Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gagal sepakat guna logo PH antara punca kekalahan di Johor - Lim

WAWANCARA l Pakatan Harapan (PH) berdepan masalah untuk menghimpunkan barisan pembangkang yang bersatu semasa pilihan raya Johor lalu, akui Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, baru-baru ini, Lim berkata halangan pertama ialah walaupun DAP dan Amanah tetap menggunakan logo bersama gabungan itu, PKR memilih untuk menggunakan logo sendiri.

"Saya selalu tegaskan perkara ini, bahawa kita boleh memenangi pilihan raya jika kita lawan sebagai satu gabungan," kata Lim sambil menyatakan bahawa negara sentiasa diperintah oleh gabungan - sama ada oleh BN, Perikatan Nasional (PN) atau PH.

"Apabila kita tanding (dalam pilihan raya) sebagai gabungan, ia bukan hanya DAP sahaja. Ia juga adalah Amanah dan PKR.

"Jika kita tidak menggunakan logo sama, apa mesej yang mahu disampaikan kepada pengundi? Saya fikir mesej itu mengganggu dan kamu tidak boleh terus berharap bahawa kita adalah serius dan komited untuk membentuk kerajaan seterusnya.

“Mereka (pengundi) mahu melihat kita bersatu sebagai satu pasukan,” katanya.

Baik dan buruk

Masalah logo PH bukan perkara baru. Semasa pilihan raya Sarawak, ketiga-tiga parti menggunakan bendera masing-masing dan gabungan itu hanya mampu menduduki tempat ketiga, dengan memenangi cuma dua daripada 82 kerusi.

Setiausaha penganjur PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, pada Januari lalu menjelaskan bahawa partinya memutuskan untuk menggunakan bendera sendiri untuk pilihan raya Johor kerana logo PH dibayangi era hampir dua tahun pentadbiran mereka sebagai kerajaan persekutuan.

Nik Nazmi berkata, pentadbiran PH juga dikaitkan dengan banyak kepincangan termasuk kebangkitan puak dalam PKR yang akhirnya mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang dipilih. Pemimpin PKR yang lain juga senada dengannya.

Bagi Lim, PH perlu menerima bahawa pentadbiran selama 22 bulan gabungan itu memang mempunyai kelemahan tetapi menolak gabungan itu sama sekali bermakna melupakan kejayaan gabungan itu.

"Kita mesti mengambil kedua-dua yang baik dan buruk.

"(PKR) juga sebahagian daripada kerajaan itu. Dengan menggunakan logo sendiri, kita tidak dapat mengelak juga daripada dikaitkan dengan pentadbiran PH.

"Siapa timbalan perdana menteri ketika itu? Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR. Semasa menjadi timbalan perdana menteri, beliau melaksanakan banyak dasar yang baik untuk wanita," katanya.

Namun, bukan PKR sahaja yang tidak bersetuju dengan logo PH. Setiausaha penganjur kebangsaan DAP Anthony Loke dan Adun Bilut Lee Chin Chen secara terbuka mencadangkan penggunaan bendera DAP pada pilihan raya juga.

Lim berkata dia mengalu-alukan pendapat yang berbeza mengenai perkara itu dan mengakui mungkin DAP yang akan untung jika parti itu menggunakan logonya sendiri.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan bahawa menggunakan logo yang seragam adalah perlu untuk menarik sokongan daripada pengundi luar parti mereka.

“Persoalannya, logo mana? Di sini kita katakan, ia sepatutnya logo PH kerana kita mendaftar sebagai satu gabungan.

"Jika kita mewakili PH, mengapa kita tidak menggunakan logo PH?" soalnya.

Kabinet bayangan

Mengenai keputusan PH untuk tidak membentuk kabinet bayangan, Lim berkata dia secara peribadi memihak sistem itu tetapi majoriti dalam kepimpinan gabungan tersebut - termasuk ketua pembangkang Anwar Ibrahim - tidak.

Lim berkata ahli parlimen PH beroperasi secara sistem jawatankuasa, dengan sembilan kumpulan wakil rakyat mereka ditugaskan untuk memantau pelbagai kementerian kerajaan.

"Secara peribadi, saya akan bersetuju sekurang-kurangnya kita cuba untuk mempunyai kabinet bayangan tetapi kita perlu mendengar pandangan majoriti dan ketua pembangkang, jika mereka merasakan sistem jawatankuasa itu berfungsi lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS