Umno dilihat seolah-olah menolak campur tangan "kuasa lebih tinggi" yang dikatakan mengganggu pelantikan kembali Pengerusi Umno Johor Hasni Mohamad sebagai menteri besar.
Terdapat laporan bahawa 38 daripada 40 Adun BN di Johor telah mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyokong Hasni sebagai calon tunggal bagi jawatan itu.
SD itu diserahkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ke Istana Johor semalam lapor FMT yang memetik sumber.
Seorang pemimpin Umno dari Kuala Lumpur - Rafi Awang Kechik - mendakwa wakil rakyat yang tidak menandatangani SD terbabit ialah Hasni dan penggantinya Onn Hafiz Ghazi.
Meskipun mendapat sokongan majoriti, sumber berasingan memberitahu Malaysiakini bahawa Hasni telah menolak jawatan menteri besar selepas pencalonannya mendapat tentangan daripada "kuasa lebih tinggi."
Adun Benut itu dijanjikan sebagai calon tunggal BN sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, keadaan tiba-tiba bertukar semalam apabila Hasni mengeluarkan kenyataan sekitar jam 3 petang, meminta pucuk pimpinan parti melantik "pemimpin muda" untuk mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai menteri besar.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan yang berlangsung antara Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan Ahmad Zahid.
Sumber berkata bahawa "kuasa yang lebih tinggi" memihak kepada Onn Hafiz untuk menjadi menteri besar.
Onn Hafiz, 43 (gambar, bawah) ialah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar dan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein. Dia kini merupakan Adun Machap.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno Noor Azleen Ambros - yang juga Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang - mengingatkan parti itu supaya tidak melantik proksi sebagai menteri besar.
"Mengemudi sesebuah negeri itu bukan kerja seorang diri. Sebuah negeri pula bukanlah boleh dikemudi oleh seorang diri.
"Kemudi yang dicari itu biarlah yang direstui dan mendapat mandat parti," katanya.
Jelasnya, adalah penting bahawa pemimpin itu mestilah individu yang telah dijanjikan kepada pengundi.
Keputusan untuk tidak melantik semula Hasni sebagai menteri besar juga turut tidak memuaskan hati veteran Umno Shahrir Samad.
Shahrir - yang merupakan ketua Umno Johor Bahru - berkata dia malu kerana ketika berkempen menegaskan bahawa Hasni bakal menteri besar Johor.
Tambahnya, dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan perwakilan semasa perhimpunan agung Umno selepas ini.
"Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB.
“Umno sudah pasti dengan Hasni sebagai MB.
"Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.
"Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) Malaysia hujung minggu ini," katanya pada hantaran di media sosial.
Ini, jelas Shahrir meskipun dia sepatutnya menjadi jurucakap Umno Johor pada PAU kali ini.
"Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan.
"Taklah sehebat mana Umno Johor," katanya lagi.