Meskipun disiasat oleh polis hari ini, aktivis Adam Adli menegaskan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan Sabtu ini di ibu kota akan diteruskan seperti dirancang.
Adam yang kini ahli PKR berkata dia memberikan kerjasama terhadap polis yang bertanyakan soalan berkaitan penganjuran perhimpunan yang bakal berlangsung di hadapan bangunan Sogo, Kuala Lumpur itu.
“Ini bukan soal nak serang seseorang bernama Azam Baki tapi sebenarnya kita mengangkat kepentingan sebuah institusi yang diharapkan menjaga, mencegah dan juga membanteras rasuah dalam negara ini serta korupsi dalam apa juga bentuknya…
“Ketuanya perlu ada integriti,” katanya di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Adam yang disiasat sekitar 20 minit hadir bersama peguamnya Syahredzan Johan.
Menurut Syahredzan, siasatan dijalankan bawah Kanun Keseksaan 504 iaitu memberi satu komunikasi yang mungkin menyebabkan mudarat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Yang ini saya percaya berkenaan sebaran dan sebagainya dilakukan melalui dalam talian dan Adam telah memberikan kerjasama dengan menjawab soalan tetapi sudah tentu jawapan kepada soalan-soalan itu kita tak boleh dedahkan.
“Tapi kebanyakan soalan itu adalah soalan yang berkenaan dengan penganjuran demonstrasi yang akan diadakan pada hari Sabtu ini.
“Seperti biasa, perkara ini kita selalu nampak apabila ada apa-apa demonstrasi yang akan berlangsung dan sudah tentu apa dan orang yang dilihat sebagai penganjur ataupun memberikan maklumat sudah tentu akan dipanggil seperti ini,” katanya.
Menjelas lanjut, Syahredzan berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai sebaran dalam talian tersebut secara terperinci tetapi merujuk kepada poster perhimpunan itu.
Kedua-dua mereka berkata walaupun terdapat siasatan dijalankan, ia tidak sepatutnya menakutkan sesiapa atau menyebabkansesiapa takut untuk datang pasa demonstrasi itu, jika mereka percaya tentang isu yang dibangkitkan dalam demonstrasi tersebut.
Pada masa sama, Adam menjamin bahawa perhimpunan yang akan berlangsung di ibu kota pada jam 11 pagi itu akan berlangsung dengan aman dan tidak akn mengganggu letenteraman mana-mana pihak.
“Ini adalah hak rakyat Malaysia untuk meyatakan pandangan dan juga berhimpun,” katanya.