Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dos penggalak untuk warga emas secara jumpa terus di 4 PPV mulai Rabu

Perkhidmatan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus bagi warga emas, ditawarkan di empat pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang bermula Rabu ini.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini menyatakan empat PPV tersebut adalah PPV World Trade Centre dan PPV Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, serta PPV Ideal Convention Centre di Shah Alam dan PPV Integrasi di Dewan Soka Gakkai, Klang di Selangor.

Kesemua PPV itu beroperasi setiap hari kecuali cuti umum bermula 2 petang hingga 8 malam, kecuali PPV Dewan Soka Gokkai yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

Kenyataan KKM itu menyatakan sehingga semalam, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas, iaitu individu berumur 60 tahun dan ke atas, di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.

“Untuk makluman, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, adalah layak untuk menerima dos penggalak.

“Warga emas yang ingin hadir secara ‘walk-in’ adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu menyatakan PPV ‘Offsite’ di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga, akan melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus kepada warga emas mulai 24 Jan ini.

Senarai lengkap PPV ‘Offsite’ yang terlibat akan diumumkan pihak ProtectHealth Corporation.

Dalam pada itu, KKM dalam kenyataan itu menyatakan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac, untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.

Bermula Rabu ini juga, vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut, khusus bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu, atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS