Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan saman lucut hak keluarga Azeez ditangguhkan hari ini

Pendengaran saman lucut hak kerajaan berhubung kira-kira RM16 juta daripada keluarga Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikosongkan hari ini.

Ia selepas pihak peguam menghantar surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berkenaan saman sivil tersebut.

Surat representasi adalah kaedah di mana suatu pihak meminta calan lain bagi menyelesaikan perkara itu, antaranya cadangan agar tindakan sivil ditarik balik.

Pada mulanya, mahkamah dijadual mendengar saman sivil terhadap isteri Abdul Azeez, Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Azman, Mohamed Khairul Anwar, Khaleeda Azeera and Khaleeda Azwa dan sebuah syarikat bernama Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Mahkamah hari ini membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat peguam, setelah dimaklumkan berkenaan surat itu.

Ketika perbicaraan di depan hakim Muhammad Jamil Hussin, peguam keluarga, Prem Ramachandran memaklumkan surat itu dihantar pada 16 November lalu.

“Surat representasi dihantar (kepada AGC) susulan perkembangan terbaru kes.

“Mereka telah sediakan laporan dan (surat) dihantar untuk pertimbangan pada 16 November tahun lalu,” katanya.

Katanya, oleh kerana surat sudah dihantar, perbicaraan yang dijadual hari ini perlu dikosongkan sementara menunggu keputusan AGC berhubung representasi tersebut.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim kemudian mengesahkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan telah menerima surat itu dan telah dibawa ke perhatian ketua pendakwaan untuk arahan lanjut.

Katanya lagi, susulan surat itu, pegawai penyiasat (IO) perlu mengadakan siasatan lanjut.

Dia kemudian mencadangkan tarikh sebutan kes bagi memberi kemas kini berkenaan keputusan AGC terhadap representasi.

Jamil kemudian membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan 8 Februari untuk sebutan kes.

Pada masa sama, Azeez turut menjalani perbicaraan jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia dihadapkan dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM140 juta.

Namun perbicaraan itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Azeez di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan pertuduhan rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS