Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Kampung di Mentakab masih tiada bekalan elektrik, air bersih

Beberapa kawasan di Mentakab, Pahang masih terputus bekalan air bersih dan elektrik, seminggu selepas banjir besar menjejaskan infrastruktur tempatan.

Banyak perhatian telah diberikan kepada Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor yang turut musnah akibat bah besar dan pihak berkuasa segera bertindak untuk memulihkan kemudahan selepas bantahan terhadap respons kecemasan awal yang lemah.

Pun begitu, perkara yang sama boleh dikatakan tidak berlaku di Mentakab.

Walaupun air banjir surut semalam, penduduk di beberapa bahagian Mentakab mengalami kesukaran untuk memulihkan kehidupan mereka kerana usaha pembersihan terhalang akibat kekurangan bekalan air bersih dan elektrik.

Adun Mentakab Woo Chee Wan berkata ketika perkhidmatan air sedang dipulihkan, paip masih mengalami tekanan rendah.

Ini menyebabkan air berlumpur mengalir dari paip.

“Saya pergi ke sebuah perkampungan Melayu pagi tadi dan mendapati mereka menggunakan air lumpur untuk membasuh pinggan.

"Air minuman satu isu, dan saya cuba yang terbaik untuk menyediakan air mineral.

"Mandi juga menjadi satu isu, dan jika mereka beragama Islam, air sangat penting bagi (mereka mengambil wudhu untuk) solat," kata Woo kepada Malaysiakini.

Dia juga berkongsi gambar di media sosial penduduk cuba membersihkan harta benda mereka yang berselut dengan air keruh.

Selain masalah air, Woo berkata bekalan elektrik juga belum dipulihkan sepenuhnya dan terdapat kekurangan janakuasa.

Woo dan yang lain menganggarkan sekurang-kurangnya 80 peratus kawasan bandar Mentakab dan beberapa kampung dilanda banjir.

Bagi penduduk, salah satu sumber bantuan datang dari Kuil Thean Hou di Mentakab, tempat sukarelawan dari kawasan sekitar berkumpul.

Seorang sukarelawan, Jenny Chew memberitahu Malaysiakini bahawa sukarelawan di kuil itu menyediakan sehingga 2,500 pek makanan untuk setiap hidangan kerana penduduk tidak dapat memasak.

“Sekarang ini tiada gunanya menghantar pek makanan (kering) kepada mangsa. Rumah mereka kosong, periuk nasi mereka pun dihanyutkan.

"Tambahan pula tiada air dan elektrik," kata Chew, yang juga setiausaha Persatuan Hainan Temerloh.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan yang berasal dari Klang, Andy Kong berkata air botol digunakan untuk menyediakan makanan.

“Disebabkan lot kedai terjejas, barangan seperti tuala wanita juga tidak mencukupi,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS