Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker boleh guna peraturan mesyuarat 90 untuk bahas banjir - MP

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menolak penjelasan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkaitan tindakan parlimen tidak membincangkan isu banjir teruk di Selangor dan tempat-tempat lain.

Gobind berkata Peraturan Mesyuarat 90 Dewan Rakyat memberi kuasa kepada Azhar untuk menggantung sesi untuk membincangkan isu serius yang perlu disegerakan.

"Sekiranya kita melihat kepada peraturan mesyuarat memang tidak ada kekangan untuk speaker membenarkan masalah itu dibangkitkan, dibincangkan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Puchong.

"Tapi saya tidak faham kenapa ia ketat sangat.”

Dewan Rakyat pada Selasa kecoh seketika apabila Azhar tidak membenarkan beberapa Ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membahaskan isu banjir yang melanda lima negeri minggu lalu.

Azhar Harun 

Azhar dilaporkan berkata, perkara itu tidak boleh dibahaskan kerana tidak terkandung dalam aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat.

Azhar memetik peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan bahawa ahli parlimen perlu memberi notis bertulis sekurang-kurangnya 24 jam sebelum membawa usul tergempar untuk dibahaskan.

Menurut Gobind, parlimen adalah medan utama untuk membincangkan semua kemaslahatan negara dan rakyat.

"Forum parlimen adalah forum yang paling baik. Saya faham ia hari terakhir sidang parlimen tetapi ini tidak bermaksud bahawa perkara ini tidak boleh dibincangkan,” katanya.

Banjir baru-baru ini berlaku berikutan pembentukan Lekukan Tropika 29W melanda kawasan berhampiran Kuantan pada 17 Dis, membawa bersama hujan lebat dan banjir besar di tengah Semenanjung Malaysia.

Pahang dan Selangor antara negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS