GLOBAL | Moscow dilaporkan telah mengerahkan lebih 90,000 anggota tentera ke kawasan sempadan dengan Ukraine dan dikatakan merancang melakukan gerakan ketenteraan seawal tahun depan, lapor Agensi Anadolu pada Jumaat.
Menurut laporan Washington Post kempen ketenteraan itu boleh menjadi gerakan ketenteraan berskala besar melibatkan seramai 175,000 tentera, memetik pegawai Amerika Syarikat dan dokumen perisikan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Ukraine Oleksiy Reznikov berkata hampir 94,000 tentera Rusia telah dikerahkan ke sempadan Ukraine dan memberi amaran Moscow mungkin akan mencetuskan gerakan ketenteraan besar-besaran menjelang Januari.
Amerika Syarikat turut dilaporkan menggesa Moscow untuk memenuhi komitmennya di bawah perjanjian Minsk.
Sementara itu, seorang pegawai Rusia berkata pada Jumaat bahawa pertemuan secara maya antara Presiden Vladimir Putin dan Presiden Joe Biden mungkin akan diadakan "dalam beberapa hari lagi."
Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan mengenai pelaksanaan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak Geneva pada Jun lalu, hubungan dua hala, situasi di Afghanistan, Iran, Ukraine, Libya dan Syria, kata penasihat presiden mengenai isu dasar luar Yury Ushakov kepada pemberita di Moscow.
- Bernama