Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan ada menerima laporan mengenai kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membabitkan pegawai pelbagai peringkat.
Menterinya Hamzah Zainudin berkata pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam JIM malah dikatakan menggunakan pegawai tertentu di jabatan itu untuk kepentingan mereka.
Menurut Hamzah, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan sebegitu.
"Siasatan akan dibuat secara telus untuk mengenal pasti pegawai yang terbabit dengan kartel, dan kalau betul ada, kami akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalah guna kuasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen 2021 di Putrajaya hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Hamzah berkata, ada kartel dengan pembabitan pegawai dalaman membolehkan anggota mereka bebas keluar masuk pejabat jabatan itu termasuk di pintu-pintu masuk negara termasuk di lapangan terbang.
Kata Hamzah kewujudan kartel dalam perkhidmatan JIM mencalar reputasi jabatan terbabit yang sentiasa mendapat ranking terbaik dalam perkhidmatan imigresen di lapangan terbang peringkat antarabangsa.
Pada tahun ini, katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapat tempat keempat dalam World’s Best Airport Immigration Service 2021, oleh Skytrax.
"Kalau kita tekan saja Google, isu imigresen Malaysia, paling utama adalah kes-kes korup dan integriti. Ini adalah sesuatu yang saya minta kepada semua untuk elak perkara ini terus berlaku dan memahami bahawa tanggungjawab kita adalah mempertahankan negara.
"Kalau mereka (kartel) mudah masuk, kalau kita boleh jual apa saja yang ada pada kita dengan mudahnya, maka kita tak jaga kedaulatan negara kita," katanya.
Hamzah berkata penggunaan teknologi tinggi dan aset canggih seperti data raya, digitalisasi, robotik, analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), internet kebendaan (IoT) an kecerdasan buatan (AI) dapat mengurangkan kewujudan kartel atau sindiket yang boleh merosakkan imej imigresen kerana ia dapat mengurangkan urusan yang memerlukan perhubungan terus antara pegawai dan pelanggan imigresen.
- Bernama