mk-logo
Berita
PRN Sarawak bakal telan belanja RM150 juta - Wan Junaidi
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan pilihan raya negeri Sarawak akan datang bakal menelan belanja RM 150 juta.

Jelasnya, kos itu termasuk perolehan peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik dan elaun pekerja pilihan raya.

"(Kos ini) merangkumi perolehan peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik, elaun petugas dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan termasuk keperluan peralatan Covid-19 dan mengambil kira pelaksanaannya mengikut garis panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan pilihan raya," katanya pada jawapan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi menjawab soalan Wong Ling Biu (Pakatan Harapan- Sarikei) yang meminta kerajaan mendedahkan jumlah peruntukan untuk pilihan raya Sarawak akan datang.

Pengundi dijangka memilih pada bulan depan kerana dewan undangan negeri dibubarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menarik balik darurat tempatan di Sarawak

Pilihan raya ini ketika Sarawak masih menyaksikan jumlah kes Covid-19 yang tinggi, dengan 416 kes baru dan 13 kematian dicatatkan semalam.

Pengkritik menuduh GPS, gabungan parti pemerintah di Sarawak, tergesa-gesa mengadakan pilihan raya bagi mengelak Undi18, yang dijangka menambah bilangan pengundi yang besar sebaik sahaja dilaksanakan tahun depan.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari mempertahankan keputusan kerajaannya untuk merayu pembatalan darurat, yang pada asalnya dijadualkan berakhir pada 2 Feb 2022, berkata ia akan mengkhianati mandat rakyat jika kerajaannya kekal lebih lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS