Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan rayuan saman kes liwat Anwar pada k'jaan 23 Feb

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim akan mengetahui pada 23 Feb tahun depan sama ada Mahkamah Rayuan akan mengembalikan semula tuntutannya berhubung kes liwat 2 atau tidak..

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Lee Swee Seng hari ini mengekalkan keputusan mereka mengenai rayuan presiden PKR itu, untuk merit saman itu didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Panel lain iaitu hakim Mahkamah Rayuan Lee Swee Seng dan Sipang Lian, hari ini menangguhkan keputusannya, selepas mendengar hujahan daripada pihak semasa prosiding dalam talian.

Peguam Gopal Sri Ram dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan masing-masing mewakili Anwar sebagai perayu dan kerajaan sebagai responden.

Peguam Harvinderjit Singh mewakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang merupakan pencelah dalam rayuan itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov 2017, yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemulanya. Merit saman itu kemudiannya tidak didengar.

Mahkamah rendah telah memutuskan bahawa saman itu tidak mempunyai sebarang sebab tindakan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah, kerana tiada bukti dikemukakan untuk menunjukkan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta daripada perdana menteri ketika itu Najib Abdul Razak, untuk mewakili pendakwaan dalam rayuan kes liwat berkenaan.

Menerusi tindakan sivil itu, Anwar berhujah bahawa dia tidak diberikan perbicaraan yang adil dalam proses rayuan yang dikaitkan dengan kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Perayu bergantung kepada afidavit, yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Rahayu Mohd Mumazani, yang mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib, untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan liwat.

Pada Januari 2012 berikutan perbicaraan jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Kemudian pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan pembebasan, dan Anwar didapati bersalah atas pertuduhan liwat dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Keputusan bersalah dan hukuman penjara Anwar dikekalkan apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada 2015.

Dia bagaimanapun telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS