Setakat tengah malam semalam (8 Oktober), sudah 89.4 peratus rakyat dewasa sudah lengkap vaksinasi - kurang hanya 0.6 peratus sahaja lagi untuk mencapai angka 90 peratus, sebagai syarat menarik balik larangan rentas negeri yang dikemukakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Pada hantaran di media sosial berkenaan kemungkinan rentas negeri - baik oleh Ismail, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mahupun Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah - ramai warga yang menzahirkan keterujaan dan tak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan.
Bagi yang teruja, nampaknya, mereka mempunyai satu destinasi serupa dalam fikiran untuk dituju, sebaik sahaja larangan rentas negeri ditarik balik.
“Kampung. Saya nak balik kampung jumpa ibu bapa yang saya tak jumpa hampir dua tahun,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Haifaa ketika dihubungi Malaysiakini tentang destinasi pertama yang akan dia tujui selepas larangan ditarik balik.
Haifaa yang tinggal di Shah Alam itu, tidak sabar bertemu dengan ibu bapanya yang kini tinggal sendiri di Seri Manjung, Perak, memandangkan sudah lama tidak bersua muka, lebih-lebih lagi dua lagi kakaknya juga tinggal di Lembah Klang.
Meskipun mereka kerap membuat panggilan video bersama, dia tetap rasa terkilan apabila ibunya pernah menyembunyikan pembedahan kecil yang dilakukan daripada pengetahuannya, hanya kerana tidak mahu dia dan kakak-kakaknya risau.
Kini, menanti kebenaran rentas negeri, Haifaa sedia menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan ujian Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri Rapid Antigen (RTK-Ag) berasaskan air liur - sebelum balik kampung dan sesudah pulang semula ke ibu kota.
“Dan saya tak bercadang untuk berhenti di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R), kecuali saya perlu guna bilik air,” kata guru berusia 27 tahun itu lagi.
Plus Malaysia Berhad (Plus) menganggarkan peningkatan antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan semula nanti.
Oleh itu, banyak pihak meramalkan R&R dan hentian juga akan turut mengalami kesesakan luar biasa.
Hisham memberikan bayangan bahawa kebenaran rentas negeri akan tiba beberapa hari lagi, manakala Ismail pula memberi jaminan bahawa pengumuman berita baik itu “sudah tak lama” dan akan berkuat kuasa serentak di seluruh negara.
Walaupun menyambut baik berita itu, Haifaa tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap kelonggaran berat sebelah kerajaan terhadap golongan bujang sepertinya, sedangkan katanya, mereka juga akur dan patuh pada perintah kerajaan selama ini.
Dia dipercayai merujuk kelonggaran rentas negeri sebelum ini yang memanfaatkan pasangan jarak jauh dan ibu bapa lengkap vaksinasi untuk berjumpa anak-anak di bawah 18 tahun, namun tiada kelonggaran seumpamanya buat golongan bujang.
“Saya rasa orang bujang pun menderita juga. Saya tinggal sendiri. Apabila dikenakan larangan rentas negeri, itulah masanya kesihatan mental saya paling terjejas.
“[...] Saya ikut segala-gala yang diperlukan untuk membolehkan kita keluar daripada pandemik ini, tapi malangnya, seolah-olah tiada yang dilakukan kerajaan untuk membantu golongan bujang yang bertanggungjawab,” luahnya.
Tak mahu jadi punca penularan
Jurutera kawalan kualiti, Shuhada Shoberi, 34, juga tidak sabar pulang ke kampung halamannya di Kedah, sejak kali terakhir bersua muka dengan ibu bapa pada Ogos tahun lalu.
Mujur, tidak seperti Haifaa, ada adik-beradiknya yang tinggal bersama ibu bapanya di kampung.
Dia yang tinggal di Pulau Pinang juga sudah melakukan persiapan lengkap, bahkan sudah pun membeli kit ujian air liur untuk kegunaannya dan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pulang nanti.
“Selalunya kami balik kampung sekurang-kurangnya dua atau tiga minggu sekali. Anak-anak pun dah tanya ‘bila boleh balik kampung’, ‘bila Corona ni nak habis’.
“Bayangkan sekarang sudah tak boleh pergi ke mana-mana, berkurung dalam rumah saja,” katanya yang mengakui tempoh sekatan pergerakan telah memberikan tekanan buat saja dirinya, bahkan juga anak-anak yang rindu kampung halaman.
Dia juga tidak akan sesekali leka dengan mengabaikan prosedur operasi standard.
“Tak mahu jadi penyebab (penularan jangkitan). Elok-elok balik kampung, nak syok-syok, nanti jadi benda lain pula,” katanya.
Permintaan kit ujian Covid-19 dijangka meningkat
Peniaga kit ujian RTK-Ag secara dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Juwita, 28, ketika dihubungi, menjangkakan jualan kit itu akan meningkat ekoran khabar angin berkaitan kemungkinan kebenaran rentas negeri dalam masa terdekat.
Kata guru itu, sekarang pun, permintaan menggalakkan dengan purata 10 buah kit berjaya dijualnya setiap hari di sekitar Teluk Panglima Garang melalui pendekatan bayar sewaktu terima (cash on delivery).
Dia yang mula menjual kit itu dua bulan lalu, menjualnya pada harga RM19.90 setiap kit, dan RM16 untuk pembelian borong 10 kit ke atas - seperti harga yang ditetapkan kerajaan.
“Bekalan kit tinggal sedikit,sebab beli saya beli semasa harga runcit tengah mahal hari itu. Ada rancangan nak tambah lagi, tapi takut kerajaan turunkan lagi harga tiba-tiba. Penjual yang rugi.
“Tengok dulu harga macam mana,” katanya.
Pada bulan lalu, kerajaan menetapkan harga siling kit RTK-Ag pada RM19.90 pada harga runcit - sebelum itu dijual pada harga sekitar RM40 - serta RM16 pada harga borong. Pun begitu, terdapat gesaan agar harga itu dikurangkan lagi bagi kemudahan golongan tidak berkemampuan.
Meskipun ramai yang tidak sabar-sabar untuk merentas negeri, ada juga yang menangguhkan hasrat ke mana-mana atas faktor keselamatan, seperti penyelia runcit, Nur Hafiz Kenny Yusoff, 28.
“Mungkin dijangka kesesesakan lalu lintas akan berlaku di mana-mana lebuh raya - ini adalah satu sebab saya tak akan rentas negeri buat masa sekarang. Dari segi keselamatan, saya masih risau dalam keadaan sekarang kalau berada di tempat yang sesak,” katanya.
Dia yang tinggal di Selangor bersama keluarganya memberitahu, meskipun sudah lama merancang untuk melawat sanak-saudara di Kedah, namun hasrat itu hanya akan dilakukan apabila keadaan kembali reda, lebih-lebih lagi negeri jiran Perlis sedang mengalami peningkatan kes.
Pun begitu, buat perantau yang akan pulang ke kampung halaman, Hafiz menitipkan pesan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti sentiasa memakai pelitup muka dan selalu melakukan ujian kendiri Covid-19.
Peniaga R&R tarik nafas lega
Bukan sahaja perantau di kota, khabar gembira kebenaran rentas negeri sebenarnya amat dinanti-nantikan peniaga di hentian dan R&R lebuh raya, seperti peniaga di R&R Paka arah Utara di Lebuhraya Pantai Timur 2, Mira Firzana, 25.
Kata Mira yang membuka gerai makan dan kiosk menjual tudung dan alat kosmetik, perniagannya terjejas teruk sepanjang larangan rentas negeri, dianggarkan sehingga 90 peratus.
Katanya, sepanjang masa itu, jualan hanya cukup-cukup makan untuk membayar gaji pekerja, bahkan perlu ditambah dengan wang sendiri untuk memastikan perniagaan terus bertahan.
Katanya, hanya sekitar 20 ke 30 orang pengunjung yang kebanyakannya pemandu lori yang singgah di R&R.
Hal itu menyebabkannya menutup kiosk, dan dia hanya bergantung pada gerai makan yang dipendekkan waktu operasi dan harus bergilir pula dengan gerai lain pula.
Kini, menanti kebenaran rentas negeri, dia sudah menambah bekalan stok serta menambah bilangan pekerja sebagai persediaan untuk kembali menerima pelanggan yang dijangka meningkat mendadak dan semua pekerjanya dipastikan sudah lengkap divaksin.
Jika orang lain dijangka berpusu-pusu pulang ke kampung, Mira memilih untuk memanfaatkan peluang yang tiba bagi memulihkan perniagaan yang lama terjejas.
“Buat masa ni belum lagi (balik kampung), fokus ke perniagaan dulu sebab dah terlalu lama berehat.
“Selepas rentas negeri dah reda baru kami pula akan bercuti,” katanya yang memberi jaminan tidak akan berkompromi soal SOP di kedainya, selain akan kerap melakukan ujian kendiri Covid-19.