Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah merancang untuk menghidupkan kembali "Umno asal" yang diharamkan ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, "Umno asal" yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) "tidak pernah diharamkan" kerana ROS tiada kuasa untuk berbuat demikian.
"Nampak pembatalan pendaftaran oleh pendaftaran pertubuhan adalah tidak mengikut akta pertubuhan 65 yang diberi kuasa di bawah akta tersebut.
"Jua kita berfikirkan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan Umno juga diluar bidang dan sepatutnya peguam yang mewakili Umno patut melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.
"Ramai yang membantu saya dari segi perundangan tentang pengharaman Umno... sebenarnya tidak sah pengharaman itu," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Umno diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Pada 4 Februari, 1988.
Pengharaman itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli-ahli Umno yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengheret parti itu ke mahkamah Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April, 1987.
Daripada perbicaraan itu isu cawangan hantu iaitu cawangan yang tidak berdaftar telah dibangkitkan yang menyebabkan keseluruhan Umno diharamkan.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata isu berkenaan dibangkitkan sekarang kerana ia melalui proses penyelidikan undang-undang yang panjang.
"Kawan-kawan saya bercadang begitulah...telah mencadangkan kepada saya dan kita boleh kita boleh pertimbang kerana badan itu tak bersalah mengapa nak bunuh dia (Umno).
"Kalau kita ambil tindakan, kita ambil atas nama jawatankuasa protem untuk menghidupkan Umno yang sekarang ini yang saya sifatkan tadi pengsan.
"Saya nak hidup balik Umno kalau ada orang berminat nak ikut sama amat dialu-alukan," kata Ku Li.