mk-logo
Berita
Institusi raja kuasa semak, imbang terakhir rakyat - Tengku Hassanal
Diterbitkan:  Aug 9, 2021 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Institusi raja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah raja pemerintah juga telah diberi tanggungjawab dalam Perlembagaan untuk memberi naungan saksama kepada setiap warganegara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Institusi raja mengatasi garis politik yang kekal bertindak tidak berpihak atau ‘non-partisan’ dan boleh bertindak sebagai penimbang tara sekiranya timbul pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.

"Dalam erti kata lain, ahli politik juga tidak boleh berselindung atau menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik mana-mana pihak," titah baginda semasa merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2021 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

Persidangan yang berlangsung secara dalam talian itu juga dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Tengku Hassanal juga bertitah perkenan raja pemerintah perlu dihormati sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai formaliti atau 'ceremonial' sahaja.

"Institusi raja di Malaysia hendaklah dihormati semua pihak. Kuasa raja pemerintah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tidak wajar dipertikaikan," titah Tengku Hassanal.

Pada titah itu, Tengku Hassanal juga menasihatkan semua Yang Dipertua dewan Parlimen dan DUN negeri untuk menjalankan amanah dan tugas sebaik mungkin dengan berpandukan kepada pengalaman, pengetahuan dan integriti yang tinggi bagi menjamin persidangan berjalan telus, adil dan saksama.

"Yang Dipertua mempunyai peranan penting bagi memastikan perdebatan badan legislatif berjalan dengan tertib, sopan dan teratur seperti ‘standing orders’ (peraturan majlis mesyuarat) yang ditetapkan," titah Tengku Hassanal.

Pada perkembangan lain, Tengku Hassanal bertitah Parlimen dan DUN sebagai badan legislatif yang terulung perlu berusaha memberi pandangan dan rujukan kepada generasi muda sebagai persediaan untuk mereka menggalas tanggungjawab tersebut.

Titahnya, walaupun pelaksanaan persidangan belia di peringkat Parlimen dan negeri diadakan, namun usaha berterusan atau keterlibatan dengan generasi belia perlu diteruskan supaya konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen difahami serta dihayati generasi muda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS