Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat insiden penguat kuasa PBT bergelut dengan penjaja

Polis mengesan seorang individu yang juga penjaja makanan bagi menyiasat insiden pergelutan dengan seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kejadian bersebelahan sebuah bank di Pasir Mas, Kelantan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Nasaruddin M Nasir, berkata polis ini sedang menyiasat insiden itu selepas pegawai penguat kuasa itu membuat laporan, susulan video tular yang memaparkan dia merebut telefon bimbit daripada individu tersebut.

"Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika penguat kuasa itu bersama tujuh lagi rakan setugas lain membuat operasi di lokasi berkenaan terhadap penjaja tanpa lesen.

"Semasa operasi dijalankan, seorang lelaki iaitu penjaja nasi bungkus merakam menggunakan telefon bimbit dan pengadu cuba menghalang lelaki terbabit daripada terus berbuat demikian sehingga berlaku pergelutan.

"Semasa pergelutan berlaku, penjaja berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang pengadu menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, video berurasi kira-kira 47 saat yang memaparkan penguat kuasa tersebut cuba merampas telefon lelaki itu yang dipercayai membuat rakaman ketika sekumpulan penguat kuasa PBT berkenaan melakukan operasi, tular di media sosial.

Nasaruddin berkata, penguat kuasa turut memaklumkan penjaja terbabit sudah dalam pemerhatian PBT memandangkan berniaga di kawasan tidak di benarkan.

Jelasnya, terdapat PBT memiliki dua rekod rampasan terhadap penjaja sama, iaitu pada Februari dan Mac lalu, dan kejadian semalam adalah rampasan kali ketiga membabitkannya.

"Ketika kejadian, penjaja itu juga dikatakan tidak memberikan kerjasama apabila diminta kad pengenalan oleh penguat kuasa untuk dikompaun atas kesalahan berniaga di ruang parkir selain kesalahan pengimbas suhu rosak.

"Namun, tindakannya yang merakam video wajah penguatkuasa sedang menjalankan tugas secara dekat menyebabkan pengadu merampas telefonnya bagi menghalang perbuatan itu," katanya.

Katanya lagi, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas.

"Saya mengingatkan semua pihak agar tidak sembarangan mengambil gambar, merakam video untuk semua perkara dan kejadian dengan niat untuk meraih simpati atau mengambil kesempatan.

"Perbuatan ini tidak baik dan seolah-olah menjadi kebiasaan," kata Nasaruddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS