Berdasarkan data terbaru, Kementerian Kesihatan percaya varian Covid-19 B.1.351 menyebar dengan cepat dalam komuniti.
Turut dikenali sebagai varian Beta, 89 kes seperti ini telah dikesan di sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan pada 31 Mei.
Varian Beta, pertama kali dikesan di Afrika Selatan, dilaporkan lebih tahan vaksin dan mudah menular.
Hanya Sabah dan Labuan yang melaporkan tidak ada kes dengan varian tersebut. Ia paling banyak dilaporkan di Selangor (34 kes), Kelantan (18 kes) dan Perak (10 kes).
Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian Beta telah dikesan di banyak kluster di seluruh negara.
"Kami percaya varian B.1.351 menyebar dengan cepat (dan telah menyebar) ke sekurang-kurangnya (lebih) tiga kluster.
"Ini bermula dengan tiga kes di daerah (Hulu) Langat di Selangor," katanya.
Sejak dua minggu kebelakangan ini, 23 lagi kes telah dikesan - kebanyakannya berkaitan kontak rapat dan kes sporadik. Tiga kluster baru telah dikenal pasti.
Jangkitan sporadik adalah kes yang belum ada kaitan dengan mana-mana kluster dan sumber jangkitan belum diketahui.
Varian lain
Selain varian Beta, varian Covid-19 yang lain juga tersebar.
Noor Hisham berkongsi bahawa 12 kes varian Theta (P.3) telah dikesan di Sarawak - lapan dari kluster Kampung Baru Hilir, tiga kontak rapat dan satu kes sporadik.
Varian Theta ini pertama kali dikesan di Filipina.
Dari 17 hingga 31 Mei, kes varian Alpha (B.1.1.7) pula meningkat dari tiga hingga sembilan.
Lima kes dilaporkan di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Sabah. Varian ini pertama kali dikesan di United Kingdom.
Sementara itu, satu lagi kes varian B.1.617 telah dikesan sejak 17 Mei. Setakat 31 Mei, enam kes dilaporkan di Selangor (3), Kuala Lumpur (1), Johor (1) dan Labuan (1). Varian ini berasal dari India.
Tiga kes varian Eta (B.1.525) juga dilaporkan - dua di Kuala Lumpur dan satu di Sarawak. Varian ini pertama kali dikesan di Nigeria.
Secara keseluruhan, 119 jangkitan Covid-19 yang melibatkan varian berkenaan telah dikesan di negara ini.
"Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan pengendalian penyakit berjangkit dengan terus melakukan penjujukan turutan genomik (genomic sequencing), meningkatkan pengujian, menjejak kontak, mengasingkan kes dan langkah-langkah kesihatan awam lain untuk mengurangkan jangkitan dalam komuniti.
"Selain 'lockdown' yang bermula hari ini, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di daerah yang melaporkan banyak kes.
“PKPD ini dilakukan untuk menghentikan Covid-19 merebak ke kawasan lain. Ini membolehkan pengesanan kes aktif dilakukan dengan cara yang disasarkan kepada masyarakat setempat,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.
Tak dapat nak elak mutasi
Varian Beta diketahui dapat mengurangkan keberkesanan vaksin Covid-19.
Khususnya, vaksin AstraZeneca didapati berkesan terhadap variam Beta.
Vaksin Pfizer dan Moderna didapati berkurang kesannya tetapi masih mencukupi untuk melindungi terhadap varian tersebut.
Ketika ditanya sekiranya Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan diubah memandangkan penyebaran varian Beta, Noor Hisham mengesampingkan pertanyaan itu.
Program pada masa ini merangkumi vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Pengarah Kesihatan menunjukkan bahawa program imunisasi itu akan berjalan seperti yang dirancang.
“Semua vaksin berkurang keberkesanannya sedikit.
"Tujuan kami adalah meningkatkan dorongan vaksinasi. Sebagai contoh, vaksin Pfizer mempunyai 95 peratus keberkesanan tetapi dengan varian berkenaan, ia berada pada 75 peratus (yang) masih dalam had yang dapat diterima.
"Tidak dapat dielak, lebih banyak mutasi akan ditemukan, dengan tindak balas berubah-ubah terhadap keberkesanan dan perlindungan daripada vaksin," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.