Polis Selangor memaklumkan bahawa bedah siasat yang dilakukan terhadap seorang pengawal keselamatan, S Sivabalan, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Gombak semalam mendapati bahawa dia meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed dalam satu kenyataan mengatakan bedah siasat terhadap lelaki berusia 43 tahun itu, yang meninggal hanya sejam setelah ditangkap oleh polis Gombak, dilakukan di Hospital Kuala Lumpur pagi ini.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati juga telah dilakukan dengan disaksikan oleh waris dan juga ahli keluarga si mati.
"Hasil pemeriksaan tubuh badan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal.
"Keluarga si mati juga telah dimaklumkan tentang punca kematian oleh pihak hospital," katanya.
Arjunaidi mengatakan bahawa kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut atau 'Sudden Death Report' (SDR).
"Kertas siasatan ini yang telah dilengkapkan nanti, akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan agar satu prosiding inkues berkaitan dengan kematian ini dapat dijalankan," tambahnya.
Media semalam melaporkan lelaki itu mengalami kesukaran bernafas 20 minit setelah ditangkap ketika dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Gombak.
Polis menghubungi Hospital Selayang untuk mendapatkan bantuan dan paramedik, yang tiba dengan ambulans dan memberikan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, lelaki itu dinyatakan mati tidak lama kemudian, kata Ketua Polis Gombak Arifai Tarawe.