Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengecam tindakan pihak sekolah yang memberi amaran buang sekolah terhadap pelajar tingkatan lima Ain Husniza Saiful Nizam, susulan ketidakhadirannya selepas mendedahkan seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol di kelas.
Pengerusi Gerak Zaharom Nain berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan pihak sekolah yang mengeluarkan amaran tersebut.
“Kami terkejut dengan berita ini dan sedih kerana semasa perkara ini terjadi, kami tidak mendengar apa-apa berita berkenaan tindakan terhadap guru yang membuat jenaka tersebut.
“Pendedahan berani Ain diketahui dan didengar di seluruh negara.
“Dia menyuarakan tentang amalan jenaka gangguan seksual yang jelas dalam sistem pendidikan dan lebih menyedihkan, tiadanya tekad dari Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani masalah yang amat menakutkan yang dihadapi pelajar kita ini, secara terus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaharom berkata, rogol adalah jenayah ganas dan tidak boleh dilihat secara seloroh, dan amalan yang boleh membawa ke arahnya perlu ditangani dan dihapuskan.
"Ain dengan berani memulakan gerakan yang akan membawa kepada peningkatan kesedaran dan semoga ia juga akan membawa kepada pembaharuan dan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat untuk pelajar kita," katanya lagi.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan Ain telah menerima surat amaran buang sekolah atas ketidakhadirannya ke selama tiga hari.
Bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab berkata, surat bertarikh 28 April itu menyatakan Ain boleh dibuang sekolah jika dia tidak hadir atau gagal memberi sebab mengenai ketidakhadirannya.
Katanya, ia walaupun dia sudah memberitahu pengetua sekolah bahawa Ain merasa tidak selamat jika dia hadir ke sekolah.
Sementara itu, Zaharom berkata tindakan berani Ain menyedarkan ramai pihak yang selama ini ingin memperjuangkan isu itu tetapi tiada suara sokongan atau takut untuk melakukannya.
“Gerak tetap teguh dengan pendirian bahawa Ain dan tindakannya mesti dipuji. Dia tidak boleh dihukum dan menjadi mangsa kerana melakukan perkara yang betul.
“Pihak berkuasa mesti menyiasat pendedahannya dan mengambil tindakan, bukannya bertindak untuk menghukumnya," tegas Zaharom.
Perlu dinyatakan yang Ain masih belum dibuang sekolah, seperti yang dilaporkan sesetengah pihak pagi ini.
Malaysiakini sudah menghubungi Jabatan Pendidikan Selangor untuk mendapatkan maklum balas.