Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga pesakit Covid-19, tersangkut kepala pada katil dalam kejadian di Hospital Tumpat, Kelantan, malam tadi.
Pada kejadian jam kira-kira 10.27 malam tadi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), daerah Tumpat, menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Komander Operasi JBPM Tumpat, Marzuki Awang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Tumpat menyatakan terdapat seorang kanak-kanak tersangkut kepala di besi katil wad.
"Sampai di lokasi kita dapati kepala kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga pesakit Covid-19 tersangkut dan tersepit dibesi katil.
"Anggota menggunakan peralatan 'rescue tool' untuk memotong besi katil dan didapati mangsa selamat dari kecederaan.
"Kerja-kerja menyelamat dijalankan oleh lapan anggota dan dipantau oleh pegawai perubatan dan jururawat hospital berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat mengambil masa selamat 30 minit dan kepala mangsa berjaya dikeluarkan daripada besi katil tersebut.
Katanya, operasi juga dilakukan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk memakai sut PPE.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.