Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebaik saja kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di hampir di semua negeri semalam, penjualan tiket bas ke Kelantan didapati laku keras bagi perjalanan malam tadi dan hari ini.

Ia susulan pengguna dipercayai bergegas mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sebelum PKBP dikuat kuasa bermula esok (9 Nov).

Ia akan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya 6 Dis ini.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, berkata kebanyakan bas yang mereka kendalikan - terutama dari Perak, Johor dan Pulau Pinang - penuh sejak malam tadi hingga pagi ini.

"Kebanyakan bas mendapat sambutan di negeri yang baru dilaksanakan PKPB.

"Sambutan bagi perjalanan dari Lembah Klang masih sama kerana negeri berkenaan memang sudah menjalani PKPB dan memerlukan surat kelulusan perjalanan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri - kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis - sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Operasi tempat kerja dihentikan

Langkah berkenaan diambil ekoran peningkatan berterusan wabak berasal dari Wuhan di China itu

Untuk rekod, sebelum ini Selangor dan Wilayah Persekutuan sudah dikenakan PKPB.

Che Ibrahim berkata sambutan diterima syarikat itu menggalakkan dan dia percaya ramai orang mahu pulang ke Kelantan sebelum pelaksanaan PKPB mulai tengah malam ini.

"Permintaan ini agak drastik, namun kami tidak menyediakan sebarang bas tambahan," katanya.

Sementara itu, ejen penjualan tiket bas, Izani Zakaria, 38, berkata memang sambutan terhadap penjualan tiket bas sangat menggalakkan sejak malam tadi.

Katanya, pengguna membuat pembelian terus untuk pulang ke kampung sebelum PKPB dilaksanakan.

"Sejak malam tadi bas ke Kelantan penuh saja, ramai orang memilih untuk pulang sehingga pagi ini.

"Mungkin orang mengambil kesempatan sebab mulai esok perjalanan merentas negeri tidak lagi boleh seperti selalu.

"Penjualan tiket naik mendadak dan saya jangka akan habis," katanya.

Sementara itu seorang penumpang dari utara, Arman Daud, 29, berkata dia sengaja memilih pulang ke kampungnya di Kota Bharu kerana PKPB dilaksanakan.

"Apabila PKPB dilansanakan nanti, operasi di tempat kerja saya dihentikan. Jadi saya terpaksa balik sehingga keadaan kembali seperti sediakala," katanya yang bekerja di sebuah restoran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS