Isu gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak akan seteruk hari ini jika isu pembinaan loji rawatan air (LRA) Langat 2 tidak dipolitikkan, kata Jamal Mohamad Yunos.
“Krisis air ini bukan kali pertama. Kita dah bagi cadangan di peringkat awal beberapa tahun dulu.
“Yang mana projek Langat 2 itu jangan dipolitikkan, sepatutnya projek itu diteruskan dan bila ia diteruskan dan kalau ikutkan tahun lepas lagi dah boleh beroperasi mengikut jadual.
“Dan kalau Langat 2 itu ada, isu sungai tercemar ke, air kering ke, air tetap ada,” kata pemimpin akar umbi Umno kontroversi itu.
Baca: Jamal kembali dengan demo bertuala isu air di Selangor
Ketika dihubungi Malaysiakini, Jamal berkata penggunaan air sekarang menjadi lebih banyak susulan perkembangan pembangunan di negeri itu.
“Sekarang ini banyak pembangunan dalam negeri Selangor, banyak kilang-kilang, sudah pasti kegunaan air banyak, lebih kegunaan air.
“Jadi, kerajaan negeri jangan politikkan atau pun jangan nak buat meniaga bagi mendapatkan keuntungan semata-mata dari projek pembinaan Langat 2 itu sehingga rakyat terabai.
“Ini baru satu kilang saja, habis satu Selangor dan Wilayah tak ada air,” katanya.
Tambah Jamal, dia menyaksikan suasana luar biasa ketika berada di Sungai Bernam semalam.
“Semalam, sewaktu saya pergi ke sungai dekat Tanjung Malim iaitu Sungai Bernam pun sepanjang-panjang jalan punyalah ramai orang berkhemah kerana rumah mereka tidak ada air.
“Dan difahamkan akan ada balik air hari ini, tapi tak tahulah dah ada ke belum.
“Luar biasa, sampai nak masuk ke dalam hutan pun sesak,” tambahnya.
‘Tahap operasi 80 peratus’
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) hari ini turut mebangkitkan perkara sama.
Katanya, gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang yang semakin kerap berlaku mungkin tidak serius dan mampu dibendung jika LRA Langat 2 dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini.
“Ketika ini, operasi LRA Langat 2 hanya beroperasi 80 peratus apabila pemasangan paip penyambungan bekalan air ke kawasan penting akan siap sepenuhnya pada tahun 2021 hingga 2022.
“Justeru, kerajaan perlu menyiapkannya dengan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan sebagai penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di Lembah Klang.
“LRA Langat 2 sememangnya sudah hampir siap tetapi sistem paip untuk menyalurkan air bersih belum disediakan menyebabkan ia ditunda ke tahun 2021 dan 2022,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.