Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau hudud dilaksanakan, rakyat potong tangan, menteri potong kuku'
Diterbitkan:  Aug 23, 2020 10:32 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan persoalan apakah hukum hudud sekiranya dilaksanakan, bakal dikuatkuasakan secara adil.

Anggota Parlimen Muar itu mendakwa, ini kerana undang-undang sekarang pun dilaksanakan secara berat sebelah apabila menteri hanya didenda RM1,000 kerana ingkar perintah kuarantin wajib.

Sedangkan katanya, rakyat biasa didenda dengan kompaun yang lebih tinggi dan penjara.

“Rakyat biasa yang langgar kuarantin, didenda RM12,000 dan dipenjara sampai lima bulan.

“Bila melibatkan menteri, "undang undang" lain dipakai untuk menyelamatkan kawan.

“Kalau hudud dilaksanakan, rakyat biasa dipotong tangan, menteri potong kuku (potong gaji) sahaja,” ciapnya di Twitter.

Pelaksanaan undang-undang hudud pernah menjadi matlamat utama PAS, yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan. 

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan hadir ke parlimen enam hari kemudian iaitu pada 13 Julai.

Kuarantin di pusat kuarantin dikuatkuasakan semula pada 24 Julai, namun sebelum itu mereka yang pulang dari luar negara masih perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.

Khairuddin berkata ketiga-tiga ujian saringan menunjukkan dia negatif daripada wabak berkenaan.

Individu yang pulang dari luar negara dan disahkan negatif masih perlu menjalani kuarantin kendiri dan melakukan sekali lagi ujian saringan pada hari ke-13.

Jika disahkan positif, mereka akan dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Khairuddin semalam memohon maaf dan mengumumkan untuk menyumbangkan gajinya dari Mei hingga Ogos kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19) atas rasa tanggungjawab.

Kontroversi membabitkan Khairuddin berlaku selepas orang ramai mengadu layanan undang-undang yang berbeza antara rakyat biasa dan VIP.

Pada 14 Ogos lalu, seorang wanita berumur 72 tahun didenda RM8,000 dan dihukum penjara kerana melanggar perintah kuarantin. 

Ujian saringan kedua mendapati dia disahkan positif.

Pada 13 Ogos lalu, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, juga didenda RM12,000 dan dikenakan penjara lima bulan kerana ingkar arahan yang sama. 

Dia merupakan kes indeks bagi kluster Sivagangga. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS