Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah Jepak nafi lindungi Mahdzir isu minta 'habuan' RM60 juta

KES ROSMAH | Pengarah urusan Jepak Holdings (Jepak) Saidi Abang Samsudin hari ini menafikan cuba melindungi Mahdzir Khalid berhubung dakwaan bekas menteri pendidikan itu menerima rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Saidi menegaskan dia hanya menandatangani perjanjian dengan individu bernama Md Fuad Yassin.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Fuad disifatkan sebagai proksi Mahdzir. Tetapi Saidi hari ini berkata dia tidak sedar kaitan antara dua individu itu.

"Saya tak lindungi sesiapa. Apa yang saya cakap adalah benar," kata Saidi yang merupakan saksi pendakwaan ke-17.

Dia berkata demikian ketika menjawab kenyataan Akberdin bahawa dia cuba menyelindung beberapa fakta tertentu kerana hubungan rapatnya dengan Mahdzir.

Terdahulu, Saidi setuju dengan kenyataan Akberdin bahawa Mahdzir membantu Jepak untuk mendapatkan kontrak itu, tetapi menjawab "tidak" ketika ditanya jika Mahdzir ada meminta habuan sebanyak RM250 juta - atau 20 peratus - daripada nilai keseluruhan projek.

"Tiada persetujuan seperti itu," katanya mengulas kenyataan Akberdin bahawa persetujuan dicapai dengan Mahdzir menurunkan permintaannya kepada RM60 juta.

Mahdzir dan Saidi

Akberdin turut mencadangkan bahawa jumlah yang akan dibayar adalah RM1 juta setiap bulan sepanjang tempoh lima tahun.

Ketika diperiksa balas pada 11 Februari lalu, Mahdzir menafikan dia memberikan lampu hijau untuk projek itu sebagai pertukaran untuk bayaran RM1 juta setiap bulan sepanjang tempoh itu - membawa jumlah sebanyak RM60 juta.

Dia sekali lagi menafikan membuat permintaan itu dalam satu kenyataan pada 4 Ogos lalu.

Sepanjang perbicaraan hari ini, Saidi berulang kali berkata dia hanya setuju membayar RM60 juta kepada Fuad jika Fuad berjaya mendapatkan surat perjanjian (LOA) untuk Jepak dalam masa sebulan.

"DIa janji dengan saya akan dapatkan surat itu dalam masa sebulan...Saya ahli perniagaan, tak suka bazir masa untuk seorang yang tak boleh dapatkan LOA untuk saya," katanya lagi.

Akberdeen kemudian menyatakan Saidi cuba menyelindungi perkara sebenar, bahawa RM60 juta yang dijanjikan dalam perjanjian dengan Fuad adalah untuk Mahdzir.

"Hakikatnya wang itu untuk Mahdzir Khalid," kata Akberdin.

"Saya tak tahu. Saya sudah angkat sumpah," balas Saidi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS