Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen serbu pejabat akhbar Makkal Osai, 2 warga asing ditahan

Sepasukan anggota dari Jabatan Imigresen hari ini menyerbu pejabat akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan menahan dua warga asing.

Ketika dihubungi, pengarah urusan Makkal Osai Sunther Subramaniam mengesahkan serbuan dan penahanan itu.

"Mereka menyerbu pejabat kami dan menahan dua orang.

"Salah seorangnya adalah warga Sri Lanka yang memegang kad pelarian PBB, dan seorang lagi adalah warganegara India.

"Warganegara India itu berkahwin dengan warganegara Malaysia dan suaminya meninggal beberapa tahun lalu," kata Sunther kepada Malaysiakini.

"Kami bekerjasama dengan pegawai Imigresen untuk menyelesaikan perkara ini," tambahnya.

Sunther bagaimanapun mendakwa kedua-dua individu itu bukan kakitangan editorial akhbar berkenaan.

"Mereka bukan kakitangan Makkal Osai. Mereka adalah kakitangan syarikat berkaitan," katanya.

Ditanya sebab di sebalik serbuan itu, Sunther berkata dia percaya pegawai Jabatan Imigresen hanya menjalankan tugas mereka dan bertindak atas aduan yang dibuat oleh pihak yang tidak didedahkan.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS