Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anak Zahid minta buat keputusan syarikat kerana ayahnya bayar deposit RM8 juta'

Seorang bekas pengarah Ri-yaz Asset Sdn Bhd memberitahu mahkamah bahawa anak Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah pernah menyuarakan bahawa dia wajar mendapat kuasa membuat keputusan di syarikat berkenaan.

Kata Abdul Rashid Abdul Manaf - yang tampil sebagai saksi kes dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid - ini ekoran Nurulhidayah berpendapat ayahnya sendiri yang membuat pembayaran deposit lebih RM8 juta untuk memulakan urusan pemindahmilikan saham milik Abdul Rashid dari syarikat itu.

Kata Abdul Rashid, bayaran RM8,602,920 itu dibayar kepada Ri-Yaz oleh firma Lewis & Co pada 30 Jun 2016, bagi menyelesaikan tunggakan pinjaman pembelian hotel di Indonesia kepada Exim Bank, sebagai prasyarat kepada pertimbangan penjualan 60 peratus saham miliknya kepada Nurulhidayah oleh pihak bank.

“[...] Dato’ Nurulhidayah memberitahu saya bahawa sepatutnya dia boleh membuat keputusan di dalam syarikat memandangkan pembayaran deposit telah dibuat oleh ayahnya.

“Saya kemudian mencadangkan Dato’ Nurulhidayah dilantik sebagai pengarah dan saya sendiri akan meletakkan jawatan sebagai pengarah dalam Ri-Yaz. Dato’ Nurulhidayah kemudian telah dilantik menjadi pengarah syarikat pada 27 Januari 2017,” katanya dalam penyataan saksinya.

Tambahnya, dia turut memberitahu Nurulhidayah bahawa dia hanya akan memindah milik sahamnya kepada Nurulhidayah selepas mendapat pelepasan penjamin kepada pinjaman Ri-Yaz, dan selepas bayaran jual beli 60 peratus saham itu diselesaikan.

Ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Abdul Rashid turut memberitahu, dia dimaklumkan Ahmad Zahid sendiri mahu Nurulhidayah menjadi pengarah.

“Saya diberitahu selepas duit RM8 juta lebih diberikan, Datuk Zahid berasa tak patutlah anaknya tak jadi pengarah, sebab dah bayar RM8 juta. Sebab tu saya bersetuju bagi dia jadi pengarah, saya letak jawatan (resign),” katanya lagi.

Abdul Rashid merupakan saksi ke-83 dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-28 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, pada Jun 2014, Ri-Yaz telah membuat pinjaman daripada Exim Bank bernilai AS$24.8 juta bagi urusan pembelian hotel di Bali, Indonesia bernilai AS$31 juta, namun berdepan masalah untuk membayar faedah pinjaman mengikut terma yang telah ditetapkan.

Katanya, susulan itu, dia berbincang bersama seorang lagi pengarah, Mohammed Shaheen Shah Mohd Sidek dan bersepakat untuk mencapai dua penyelesaian, iaitu sama ada menjual hotel di Bali atau Abdul Rashid menjual syernya di dalam Ri-Yaz.

Hasrat Nurulhidayah untuk mengambil alih Ri-Yaz sekaligus membeli kesemua 60 peratus saham milik Abdul Rashid disampaikan oleh Mohammed Shaheen kepadanya pada 2015.

Ini katanya membawa kepada pertemuan antara dirinya, Mohammed Shaheen, Nurulhidayah dan Ahmad Zahid di kediaman Ahamd Zahid di Kajang beberapa minggu kemudian, dan dalam perbincangan itu dia telah menyampaikan beberapa syarat untuk urusan penjualan saham itu.

Antaranya, Ahmad Zahid perlu berjumpa dengan Exim Bank untuk melepaskan Abdul Rashid sebagai penjamin pinjaman, selain Nurulhidayah akan mengambil alih pinjaman bernilai AS$24 itu, dan Ahmad Zahid perlu membayar deposit iaitu jumlah pinjaman tertunggak pada masa itu.

Sebelum ini, menurut keterangan saksi ke-76 yang merupakan bekas pengerusi Exim Bank, Ahmad Zahid Hamidi sanggup mendahulukan bayaran tunggakan hutang AS$2.058 juta- kira-kira lebih RM8 juta- ditanggung Ri-Yaz bagi membolehkan 60 peratus saham dipindah milik kepada Nurulhidayah.

Bagaimanapun, menurut Abdul Rashid, cadangan untuk melepaskan dirinya sebagai penjamin ditolak oleh Exim Bank, dan dia juga perlu memegang syer sekurang-kurangnya 10 peratus jika mahu menjual sahamnya.

“Disebabkan keputusan pihak Exim Bank, saya kemudian tidak bersetuju dengan cadangan pihak Exim Bank dan perjanjian jual beli saham telah terbatal. Badasarkan keputusan ini, Dato Nurulhidayah kemudiannya telah meletakkan jawatannya sebagai pengarah syarikat Ri-Yaz pada 31 Julai 2017”.

Ulasnya, selepas bayaran RM8.6juta itu dibayar kepada Ri-Yaz pada Jun 2016, sejumlah RM254,879.10 telah dipulangkan semula kepada Lewis & Co pada Julai 2016 memandangkan nilai tunggakan didapati berkurangan menjadi RM8,348,040.90 akibat susut nilai mata wang dolar AS.

Namun, katanya, susulan pembatalan pengambilalihan saham antaranya dengan Nurulhidayah, Mohammed Shaheen memaklumkan kepadanya bahawa Ahmad Zahid meminta supaya Ri-Yaz memulangkan semula wang ‘deposit’ yang telah dibayar kepada Ri-Yaz.

“Datuk Shaheen juga maklumkan saya bahawa Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi ada memberitahunya wang deposit itu bukanlah wangnya, tapi wang yayasan (tidak ingat nama yayasan). Saya kemudiannya mengarahkan Ri-Yaz memulangkan wang tersebut,” katanya lagi.

Disoal oleh Ahmad Sazilee, Abdul Rashid bersetuju bahawa semasa pertemuan dengan Ahmad Zahid, bayaran yang ingin dibuat itu tidak pernah dibincangkan sebagai pinjaman, bantuan kewangan, mahupun pelabura kepada Ri-yaz.

“Tidak. Ini adalah sebagai deposit untuk membei syer itu,” jawabnya.

Semasa pemeriksaan balas, peguam bela Mohd Haziq Dhiyauddin Razali cuba mencadangkan bahawa Nurulhidayah dicadangkan menjadi pengarah di Ri-Yaz sebagai wakil Yayasan Akalbudi dan bayaran itu suatu ‘pelaburan’, namun Abdul Rashid menafikan perkara itu.

Mohd Haziq: [...] Dalam pertemuan tersebut (antara Abdul Rashid, Zahid, Nurulhidayah dan Shaheen), saya katakan Datuk Zahid ada bagitahu ini pelaburan (kepada Ri-Yaz)

Abdul Rashid: Tak cakap. Yang saya tahu, Nurulhidayah nak beli. Itu saja.

Mohd Haziq: Saya kata ada diberitahu, Tan Sri (Abdul Rashid) tak ingat.

Abdul Rashid: Tak. Masa saya dengan Datuk Zahid, dia tak beritahu saya.

Malah, meskipun bersetuju dengan cadangan Mohd Haziq bahawa semua urusan cek melibatkan Lewis & Co, dia menjawab “tidak tahu” apabila dicadangkan firma guaman itu sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Ketika dicadang Mohd Haziq bahawa bayaran yang dibuat itu sebenarnya pelaburan daripada Yayasan Akalbudi, Abdul Rashid turut menjawab: “itu saya tak tahu” dan berkata dia hanya maklum duit itu duit yayasan apabila diberitahu Shaheen, selepas urusan itu terbatal.

Bagaimanapun, ketika disoal balas seorang lagi peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal, beliau mengaku bahawa segala “perincian” (intricate details) berhubung urusan itu lebih diketahui oleh Mohammed Shaheen dan Nurulhidayah.

Semasa pemeriksaan semula oleh Sazilee pula, dia mengaku bahawa isu pelaburan tidak berbangkit dan tidak tertulis di mana-mana dalam dalam perjanjian jual beli itu, dan perjanjian hanya menyatakan Nurulhidayah sebagai pembeli saham.

Sazilee: Ada tak dinyatakan Nurulhidayah sebagai proksi?

Abdul Rashid: Tak ada.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS