mk-logo
Berita
Speaker: Tiada lagi perkataan hasutan, rasis, biadab dan seksis
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Speaker Dewan Rakyat, Azizan Azhar Harun mengingatkan anggota parlimen bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang mengeluarkan perkataan berbentuk "hasutan, perkauman, biadab dan seksis" ketika persidangan dewan.

Beliau berkata demikian susulan insiden kekecohan yang berlaku  di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Oleh itu saya dan timbalan yang dipertua akan mengambil tindakan berlandaskan peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan-perkataan yang dimaksudkan masih disebutkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat dalam dewan yang muia ini.

"Di kesempatan ini saya juga ingin mengingatkan Yang Berhormat dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita dalam dewan ini membawa satu tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat kepada kita semua," katanya.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada ketua-ketua whip parti semalam yang terdiri daripada Azmin Ali (Bersatu-Gombak) yang mewakili kerajaan; Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut); Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru); Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya); Johari Abdul (PKR-Sungai Petani); Alice Lau (DAP-Lanang); Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Maszlee Malik (Bebas-Simpabg Renggam) dan Shahidan Kassim (PNBBC).

"Kesemua whip parti tersebut telah sebulat suara memperbaharui komitmen mereka untuk mempertahankan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat," tegasnya.

Minggu lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim (Umno-Baling) dilapor membuat kenyataan berbaur perkauman dan seksis terhadap Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) di Dewan Rakyat.

Abdul Azeen bagaimanapun memohon maaf selepas menerima pelbagai kritikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS