Hanya anggota Parlimen yang berkelayakan dilantik ke dalam syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam jawapan Parlimen bertarikh 15 Julai, Tengku Zafrul berkata pelantikan mereka sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) atau pengerusi berdasarkan "kesesuaian dari segi kelayakan, pengalaman dan kepakaran".
"Bagi syarikat MKD yang tersenarai di Bursa Malaysia, pencalonan sebagai pengerusi atau ALP akan melalui pertimbangan Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta lembaga pengarah syarikat. Setelah diluluskan, barulan calon tersebut dikemukakan kepada Bursa Malaysia untuk pengumuman," katanya.
Bagi syarikat yang tidak tersenarai pula, beliau berkata proses sama berlaku tetapi tanpa melibatkan Bursa Malaysia.
Katanya lagi, selari dengan Akta Syarikat 2016, setiap calon untuk syarikat di bawah MKD juga akan melalui tapisan beberapa agensi, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah.
Bagi pelantikan di GLC, beliau berkata Buku Hijau berkaitan Meningkatkan Keberkesanan Lembaga Pengarah (2006) menggariskan beberapa kriteria untuk melantik individu yang berwibawa dan berkebolehan.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim berhubung dasar pengambilan anggota parlimen sebagai pengerusi GLC dan kewajaran mereka menggantikan golongan profesional.
Tengku Zafrul berkata lagi, ia bukanlah kes terpencil kerana telah menjadi amalan kerajaan sejak dahulu.
"Pelantikan ahli politik adalah sebagai pengerusi bukan eksekutif yang mana terdapat batasan kuasa antara lembaga pengarah dan pengurusan, selaras dengan Malaysian Code of Corporate Governance 2017 dan mekanisme semak dan imbang.
"Kesimpulannya, pelantikan ALP syarikat MKD bukan sekadar mengisi jawatan sebaliknya disuai padan berdasarkan keperluan syarikat dengan mengambil kira latar belakang dan kebolehan individu.
"Justeru itu, anggota Parlimen yang berkelayakan atau memenuhi kriteria fit and proper sahaja yang dilantik menerajui lembaga pengarah syarikat MKD," katanya lagi.
Sejak pentadbiran Perikatan Nasional (PN), ramai anggota Parlimen daripada gabungan itu dilantik ke dalam GLC dan agensi kerajaan.
Sejumlah kedudukan itu sebelum ini dipegang oleh golongan teknokrat dan profesional.