Suruhanjaya Komunikasi Korea (KCC) mendenda platform perkongsian video TikTok Pte Ltd. sebanyak 186 juta won (US$155,000) kerana menyalahgunakan data pengguna, di tengah-tengah peningkatan kebimbangan global terhadap privasi perkhidmatan media sosial.
KCC pada Rabu berkata aplikasi media sosial popular dalam kalangan remaja itu didapati melanggar undang-undang telekomunikasi tempatan apabila mengumpul data kanak-kanak di bawah usia 14 tahun tanpa persetujuan ibu bapa, dan tidak memaklumkan pengguna mengenai pemindahan data peribadi ke luar negara, lapor agensi berita Yonhap.
TikTok secara tidak sah mengumpulkan 6,000 data pengguna selain memindahkan data pengguna tempatan ke pelayannya di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
KCC telah menjalankan siasatan terhadap TikTok sejak Oktober tahun lalu, selepas AS mendenda syarikat itu sebanyak US$5.7 juta pada Februari tahun sama kerana mengumpulkan data kanak-kanak secara haram.
Tindakan itu memberikan tamparan terbaharu kepada platform media sosial global milik China itu.
Menurut WiseApp, pada Disember tahun lalu aplikasi itu mempunyai 3.4 juta pengguna di Korea Selatan. Platform itu mempunyai ramai pengikut dalam kalangan remaja sejak dilancarkan pada 2017 di negara ini, turut digunakan banyak kumpulan dan artis K-pop.
TikTok dimuat turun lebih 2 bilion kali di seluruh dunia pada suku pertama tahun ini, menurut Sensor Tower.
- Bernama