Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing di pasar Jalan Othman resah fikir nasib mereka

Kamal, dari Bangladesh, bimbang. Beberapa minggu lalu sewa rumahnya telah tertunggak disebabkan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia, dia tidak dapat bekerja untuk membayar sewa atau membeli makanan.

Walaupun sukar untuk dia melakukannya, oleh kerana terdesak dia terpaksa meminta bantuan bapanya di Bangladesh dan berharap warga emas berusia 73 tahun itu dapat mengirimkannya sejumlah wang. Dia bernasib baik bapanya dapat membantu dan dia dapat bertahan.

Ini adalah berbeza dengan apa yang Kamal gambarkan ketika menaiki pesawat ke Malaysia 15 tahun lalu. Sejak 2005, lelaki berusia 40 tahun ini telah bekerja secara sah di gerai kelapa yang menjual santan segar di Pasar Besar Jalan Othman atau lebih dikenali sebagai pasar basah PJ Old Town dengan kadar upah RM60 sehari iaitu sekitar RM1,800 sebulan jika bekerja setiap hari.

Dia akan mengetepikan RM800 untuk membayar keperluan dan selebihnya mengirimkan kepada ibu bapa, isteri dan dua anak di negara asalnya, cukup untuk membayar keperluan mereka dan sedikit untuk simpanan dirinya. Bagaimanapun, sekarang, peranan mereka telah terbalik.

Diarahkan bercuti daripada bertugas sejak PKP bermula 18 Mac, dia dan pekerja lain kebanyakannya dari Bangladesh telah hilang sumber pendapatan. Malah nasib mereka lebih buruk kerana mereka tidak berpeluang bekerja walaupun pasar basah itu telah dibuka. Pada Mei, peniaga di pasar itu menerima notis tidak boleh menggaji pekerja asing walaupun mempunyai permit runcit dan borong yang sah. Sesiapa yang didapati melanggar perintah itu akan dibatalkan lesen mereka.

Bapa dua anak ini menyewa di rumah kayu usang 13 bilik di Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikongsi bersama 17 penghuni lain, kebanyakannya warga asing. Bunyi ketukan dan gerudi yang kuat jelas kedengaran dari rumah mereka, kerana pekerja pembinaan sedang sibuk menyiapkan bangunan pasar basah itu untuk dibuka semula.

Kamal tidak bersendirian. Pekerja migran di pasar itu turut memberitahu Bernama, mereka juga terpaksa menghubungi keluarga dan rakan di Bangladesh untuk membantu. Warga Malaysia juga turut menyumbang, menderma makanan dan keperluan lain.

“Keluarga pinjam duit hantar sini,” kata Nuraalam, 28 tahun, pekerja migran dari Bangladesh.

Masalah mereka bermula pada 24 April apabila seorang peniaga di pasar basah Old Town itu, yang membawa bekalan dari Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang, diuji positif Covid-19. Pada 5 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 19 kes Covid-19 dalam kalangan peniaga, pemborong dan pekerja di empat pasar basah iaitu kluster pasar bermula dari Selayang. Dua pasar termasuk pasar Old Town kemudian diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ermeemariana Saadon berkata mereka membuat keputusan untuk menguatkuasakan Undang-undang Kecil Penjaja 2007 MBPJ dan melarang pekerja asing bekerja di pasar itu selepas penularan Covid-19. Pekerja migran berisko tinggi kerana mereka tinggal dalam bilik yang sempit untuk menjimatkan perbelanjaan sewa.

Bila ditanya mengapa MBPJ tidak menguatkuasakan undang-undang itu sebelum ini, beliau berkata: “Inilah hikmah Covid-19.” Beliau menambah keputusan menguatkuasakan undang-undang kecil itu bukan berniat jahat sebaliknya menyalahkan peniaga kerana tidak memahami sektor yang boleh menggaji pekerja asing.

Dengan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan warga tempatan, kerajaan telah menyatakan keutamaan bagi rakyat Malaysia bekerja di pasar basah. Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan kadar pengangguran melonjak kepada 5 peratus.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam sidang media 22 Jun berkata, kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja asing baru di semua sektor sehingga akhir tahun ini untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga pekerja asing. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan mengenai pekerja asing yang mempunyai permit seperti Kamal, yang berada di negara ini tetapi dilarang daripada bekerja.

Walau bagaimanapun, pekerja migran ini berharap larangan itu akan ditarik balik dan mereka dibenar kembali bekerja. Namun situasi ini mungkin tidak berubah selagi tiada vaksin Covid-19 dan kelembapan ekonomi berterusan. Apabila ditanya apakah pilihan mereka apabila permit mereka tamat tempoh dalam beberapa bulan lagi, kebanyakan mereka bersedia untuk meninggalkan negara ini.

“Saya masih mahu kekal di Malaysia kerana saya mahu mencari pendapatan,” kata Sharif, rakan sekerja Kamal. “Bagaimanapun jika Malaysia tidak lagi (izinkan bekerja di sini), saya akan balik,” tambah beliau.

Tetapi ia mungkin mengambil tempoh beberapa bulan, sebelum dia boleh berbuat demikian. Baik pekerja mahupun majikan tidak boleh menamatkan kontrak tanpa notis kerana kedua-dua pihak perlu membayar penalti, berdasarkan Akta Kerja 1955.

Pada masa yang sama, pekerja masih memerlukan wang untuk berbelanja, kata Pengarah kumpulan hak migran, Our Journey, Sumitha Shaanthinni Krishna. “Jika pihak berkuasa masih meneruskan untuk menutup sektor ini kepada pekerja asing, satu cara untuk mengatasinya ialah biar mereka mencari majikan lain. Jika tidak bagaimana mereka mampu terus bertahan?” katanya.

Walaupun beliau mengakui kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia, tetapi ia adalah lebih perit bagi warga asing kerana hanya boleh bekerja dengan majikan tertentu berbanding warga tempatan yang mudah mendapat pekerjaan. Justeru, Ahli Parlimen Petaling Jaya menggesa kerajaan membenarkan pekerja migran bertukar sektor dan majikan tanpa dikenakan penalti.

Bagaimanapun usaha Bernama untuk mendapatkan komen daripada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia gagal.

Majikan Kamal, pemilik gerai kelapa, Mohd Azha Hussein, tidak mahu melepaskan Kamal yang lebih 10 tahun berkhidmat dengannya. Bagaimanapun jika MBPJ tidak benarkan, dia terpaksa menggaji warga tempatan untuk menggantikan tempat Kamal dan pekerja asing lain.

“Anak lelaki saya ada rakan tempatan yang tidak bekerja dan mereka boleh bantu. Tetapi masalah utama di sini, mereka perlu bangun awal pagi,” katanya dan menambah tugasan untuk memproses santan bermula 4 pagi dan berakhir 12 tengah hari setiap hari.

Beliau sanggup membayar RM2,400 dengan faedah lain “jika mereka bekerja dengan baik” tetapi dia tidak pasti rakyat Malaysia bersedia untuk melakukannya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS