Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tetapkan 4 Sept kemas kini kes bekas pegawai Goldman Sachs di AS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 4 September ini bagi sebutan untuk mengemas kini status bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, yang masih di Amerika Syarikat (AS) dan berdepan tuduhan jenayah berkaitan 1MDB di sana.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes Ng hari ini, yang dituduh bersubahat dengan Goldman Sachs dalam penjualan nota jaminan dan bon milik sebuah anak syarikat 1MDB, bernilai AS$6.5 bilion.

Sebelum itu, mahkamah menetapkan tarikh 9 November sebagai tarikh bermulanya perbicaraan terhadap Ng, yang berdepan empat tuduhan subahat dalam penjualan bon itu.

Ketika sebutan kes pada 19 Mei, Zaini dimaklumkan hahawa Ng masih di AS untuk berdepan pendakwaan.

Terdahulu hari ini, peguam Ng, Tan Hok Chuan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes anak guamnya di AS ditetapkan untuk pengurusan kes di sebuah mahkamah di New York pada Julai.

Menurut Tan, mahkamah AS kemudian akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar kes berkenaan di sana.

Dia berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) lebih mengetahui status kes Ng di AS memandangkan ia berhubung dengan Jabatan Keadilan (DOJ).

“Berhubung kes saya (kes bon 1MDB terhadap Ng), saya tangguhkan ke 4 September untuk pengurusan kes.

“Bagi pihak saya, saya mahu kekal dengan tarikh perbicaraan ini (9 hingga 13 November). Harapnya pada 4 September, kamu ada maklumat lebih (berhubung status Ng di AS),” kata Zaini semasa prosiding.

Ketika ditemui selepas prosiding, DPP Zaki Asyraf Zubir memberitahu pemberita bahawa peguam Ng yang sepatutnya lebih mengetahui status Ng di AS memandangkan peguam lebih kerap berhubung dengan tertuduh di sana.

Pada 19 Disember 2018, Ng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan subahat dengan Goldman Sachs dalam penjualan nota jaminan dan bon milik sebuah subsidiari 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, dengan membuat keterangan palsu dan menutup fakta material.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat 1MDB, di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Dia dituduh mengikut Seksyen 370 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang jika sabit kesalahan, akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

Ng, 47, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan untuk semua pertuduhan. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Mei tahun lepas, Ng diekstradisi ke AS untuk berdepan pertuduhan jenayah oleh DOJ negara itu berhubung skandal 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS