Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita tenat akibat keracunan puding buih meninggal dunia

Seorang wanita yang kritikal akibat mengalami keracunan makanan dikatakan selepas makan puding buih, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ pada pukul 10.40 pagi tadi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata wanita yang berusia 25 tahun itu dimasukkan ke wad HSNZ pada 24 Mei lepas setelah mengalami simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah-muntah dan demam.

"Wanita itu dirawat selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ. Kematian disebabkan kegagalan pelbagai organ akibat kejutan sepsis (septicaemia shock and multiorgan failure)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan 99 pesakit menerima rawatan di HSNZ dan juga hospital swasta, apabila mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan demam selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lepas.

Ia melibatkan 20 keluarga, dengan 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari daerah Marang.

Ahad lepas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dalam sidang medianya mengesahkan kes keracunan itu berpunca daripada penggunaan telur yang telah tamat tempoh.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS