Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program TV warga M'sia pertama di Australia ke udara Isnin ini
Diterbitkan:  May 24, 2020 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Program televisyen komuniti Malaysia pertama di Australia, Aussie Malaysian TV (AMTV), akan mula ke udara esok di saluran televisyen yang berpusat di Melbourne.

Pengasas program itu, Lin Ariffin, berkata dia membuat program itu untuk menyatukan masyarakat Malaysia di Australia.

"Saya ingin membuat platform di mana komuniti Malaysia dapat terlibat, berinteraksi dan bekerjasama dalam siri TV yang mencerminkan identiti Malaysia dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut serta," katanya, lapor The Star.

Program televisyen itu dibiayai oleh Australian Multi-Cultural Communities United Ltd (AMCCU), sebuah organisasi yang bermatlamat menyatukan pendatang sosial dan ekonomi ke dalam masyarakat Australia.

Musim pertama, yang terdiri daripada enam episod, akan ditayangkan setiap minggu di Melbourne Television Station Channel 31. Ia juga akan disiarkan secara langsung di laman web mereka.

Episod satu akan disiarkan pada jam 7.30 malam waktu Australia, atau 5.30 petang waktu Malaysia.

Lin, lahir di Kulim, Kedah, berkata musim pertama program itu sepatutnya terdiri daripada 13 episod yang menggambarkan perjalanan ke seluruh Australia.

Bagaimanapun, rancangan awal ini dibatalkan kerana wabak Covid-19.

Sebaliknya, setiap episod program itu akan terdiri daripada tiga segmen, iaitu segmen pengetahuan dan kemahiran yang akan menampilkan wawancara, acara semasa; segmen memasak; serta segmen bakat.

Topik yang dibincangkan akan merangkumi kesihatan, hartanah, budaya memandu, pembangunan diri, maklumat untuk pendatang baru ke Australia dan masalah kerjaya, kata Lin.

Antara lain, rancangan itu akan menampilkan wawancara dengan konsul jeneral Malaysia di Melbourne, Mazita Marzuki, pemimpin masyarakat tempatan serta pelawak Douglas Lim dan penyanyi Rozita Rohaizad.

Sementara itu, segmen bakat akan merangkumi pencak silat, ensembel piano dan tarian salsa.

Idea untuk program itu muncul ketika dia bertemu orang Malaysia yang lain di sebuah kafe di pinggir bandar Melbourne, kata Lin, yang memiliki kelulusan ijazah dalam bidang perniagaan dan pemasaran dari Central Queensland University.

"Saya ingin menekankan bahawa apabila kita berada di luar negara itu tidak bermaksud kita kehilangan jati diri. Saya berasa sangat teruja apabila bertemu dengan rakyat Malaysia lain. Ada perkaitan dan hubungan,” kata Lin.

Lin belajar menulis skrip dan lakonan di Malaysia bersama pengarah filem pemenang anugerah Mahadi J Murat dan mengambil kursus penulisan skrip lanjutan di University of Melbourne. Datukya ialah Allahyarham pelakon M Zain, yang terkenal kerana membintangi filem Labu Labi bersama Allahyarham P Ramlee.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS