mk-logo
Berita
KKM: 971 kes positif Covid-19 ada sejarah perjalanan rentas negeri
Diterbitkan:  May 17, 2020 7:08 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) menyuarakan kebimbangan melihat ada yang cuba membuat perjalanan rentas negeri meskipun ia masih tidak dibenarkan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Dimaklumkan bahawa KKM khuatir melihat peningkatan pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri, terutama menjelang perayaan yang bakal tiba,” kata Ketua Pengarah Dr Noor Hisham ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengambil maklum berkenaan laporan bahawa sejumlah 508 kenderaan kelmarin dan 1,248 buah semalam yang diarah berpatah balik setelah cuba untuk merentas negeri.

Noor Hisham menjelaskan berdasarkan rekod kementerian, setakat ini seramai 971 orang yang positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri.

“Tambahan pula, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia juga adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri.

“10 daripada kluster-kluster tersebut masih aktif,” katanya lagi.

Noor Hisham turut berkata bahawa kes Covid-19 yang melibatkan perjalanan rentas negeri “sangat merisaukan” dan akan menjadi satu kebimbangan meskipun setelah PKPB ditamatkan.

“Masyarakat harus waspada semasa tempoh perayaan yang bakal tiba kerana ini mungkin menjadi pemangkin kepada penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan-kawasan yang kini telah mencapai status hijau,” katanya lagi.

Berdasarkan takrifan KKM, zon hijau adalah kawasan bebas Covid-19 manakala zon kuning untuk kawasan yang mempunyai sehingga 40 kes.

Bagi zon merah pula, ia melibatkan kawasan yang mempunyai lebih dari 40 kes.

Noor Hisham sekali lagi berkata untuk memerangi Covid-19, rakyat harus bersikap tanggungjawab.

Beliau menggesa orang awam supaya mematuhi PKPB dan mengamalkan kebersihan yang baik serta penjarakan sosial.

Katanya lagi, kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas perlu dilindungi dan rakyat harus menghindari kawasan yang sesak dan terhimpit serta perbualan jarak dekat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS