Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cubaan paksa editor SR kemuka dokumen isu Morais difailkan

Bekas ketua sekretariat di Jabatan Peguam Negara (AGC) V Mabel Muthayyah memfailkan permohonan untuk memaksa pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengemukakan dokumen “boleh dipercayai" dalam penghasilan artikel tentang kematian timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, peguam Mabel David Gurupatham mengesahkan permohonan penzahiran itu dibuat di bawah Aturan 24 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Permohonan itu adalah berkenaan saman fitnah RM100 juta oleh Mabel terhadap Rewcastle-Brown, berhubung satu artikel Sarawak Report pada 2015 berjudul How AG's Office connived to prevent a second postmortem on Kevin Morais - Exclusive exposé.

Aturan 24 Kaedah 3 menyatakan (tertakluk kepada peruntukan kaedah lain), mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan mana-mana pihak untuk memberikan penzahiran dengan membuat dan menyampaikan kepada mana-mana pihak lain satu senarai dokumen yang berada atau pernah berada dalam milikan, jagaan atau kuasanya.

Mahkamah juga boleh pada masa yang sama atau kemudiannya memerintahkan pihak itu supaya membuat dan memfailkan suatu afidavit menentusahkan suatu senarai yang sedemikian dan menyampaikan satu salinan afidavit itu kepada pihak lain itu.

Gurupatham berkata bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azimah Omar telah menetapkan 10 April bagi menyampaikan keputusannya terhadap permohonan penzahiran itu, selepas penghujahan peguam kedua-dua pihak pagi tadi.

Katanya, penghujahan pihak plaintif dalam permohonan penzahiran itu adalah bahawa defendan mestilah mengemukakan sumber yang didakwa boleh dipercayai dalam artikel berkenaan kerana ia melibatkan tuduhan yang serius.

“Seseorang itu mestilah mengemukakan (sumber-sumber dokumen) untuk tuduhan itu. Maklumat apa yang kamu ada untuk (membuat) kenyataan fitnah itu? Jika tidak (dikemukakan), ia hanyalah khabar angin,” kata Gurupatham.

Dia turut membangkitkan bagaimana meskipun Rewcastle-Brown mendakwa Mabel terlibat dengan jenayah yang serius, sedangkan Rewcastle-Brown tidak pernah membuat laporan polis menggunakan sumber-sumber dokumen itu, yang merupakan asas penghasilan artikel berkenaan.

“Mahkamah menetapkan 10 April untuk keputusan sama ada Sarawak Report (melalui Rewcastle-Brown sebagai defendan yang disenaraikan) dikehendaki mengemukakan dokumen yang mereka dakwa mereka miliki,” kata Gurupatham.

Sementara itu, peguam Rewcastle-Brown, Liew Teck Huat yang turut hadir tadi, berkata mereka telah menentang permohonan itu melalui hujah balas bahawa Mabel tidak berhak untuk meneruskan proses berkenaan.

Kata Lew, antara lain, hujah mereka adalah bagaiaman permohonan penzahiran yang dibuat di bawah Aturan 24 itu adalah salah secara prosedurnya.

Pada 11 Julai tahun lepas, Malaysiakini melaporkan bahawa Mabel memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung artikel Sarawak Report yang disiarkan pada 2015 itu.

Mabel kini merupakan hakim di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Mayat Morais ditemukan dalam tong drum setelah beliau diculik daripada keretanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.

Seorang bekas doktor tentera dan lima rakan subahatnya dibicarakan atas pembunuhan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS