ANALISIS | Dalam ucapan sulungnya sebagai malam tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ada menggariskan secara ringkas hala tuju pentadbirannya.

Tetapi beliau tidak menyebut berhubung hubungannya dengan sekutu baru dalam Perikatan Nasional.

Pada masa ini, ada empat kumpulan pertama dalam pentadbiran Muhyiddin.

Pertama adalah partinya sendiri iaitu Bersatu (30 anggota parlimen), disusuli dengan Umno (39), PAS (18) dan Gabungan Parti Sarawak (18). Tulisan ini tidak mengambil kira beberapa parti kecil.

Bagi Bersatu, keadaan ini bukanlah asing buat mereka - mengetuai kerajaan pusat tanpa memiliki anggota parlimen terbanyak.

Bagaimana Muhyiddin mengemudi kerumitan dan perbezaan ideologi sekutunya barangkali akan menjadi tumpuan utama untuk beberapa minggu, malah bulan, mendatang.

Tulisan ini akan melihat tiga cabaran terbesar Muhyiddin dalam menguruskan hubungan dengan sekutu barunya.

Pembahagian jawatan

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata akan melantik anggota kabinet dari kalangan yang bersih dan berintegriti, dan menekankan beliau mahukan sebuah pentadbiran yang bebas daripada rasuah.

Hasrat itu di saat beberapa pemimpin dalam Umno berdepan pertuduhan rasuah yang serius, antaranya Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Sebagai parti terbesar dalam gabungan baru itu, Umno kemungkinan besar akan menuntut jawatan timbalan perdana menteri.

Ia merupakan jawatan yang cukup berkuasa yang akan mempengerusikan pelbagai jawatankuasa kabinet serta dan Majlis Tanah Negara, yang membuat keputusan berkenaan dasar tentang penggunaan tanah.

Zahid kemungkinan terkeluar sebagai calon ekoran kes mahkamahnya, manakala timbalan presiden Mohamad Hassan bukan seorang anggota parlimen.

Muhyiddin mungkin perlu membuat pilihan dari kalangan anggota parlimen yang lain dan ia boleh menjejaskan struktur kuasa dalam Umno dan pilihan calon perdana menteri yang seterusnya.

Sebagai parti terbesar dalam gabungan pemerintah, Umno mempunyai kuasa menawar untuk membuat tuntutan bagi kedudukan menteri kanan. Setakat ini parti itu tidak membuat sebarang tuntutan terbuka.

Muhyiddin juga perlu menimbang bagaimana untuk menempatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang - antara tokoh paling berpengaruh dalam parti itu selama empat dekad - dalam kabinetnya.

Hadi akan berada dalam tekanan apabila penyokongnya menggesa dasar yang dijuangkan parti itu selama berdekad untuk dilaksanakan, dan pastinya memerlukan kedudukan kabinet yang sesuai untuk menjayakannya.

Meredakan akar umbi

Sementara itu, Muhyiddin, yang kini pemimpin paling utama Bersatu, perlu mencari jalan menguruskan akar umbi yang telah pun memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan di seluruh negara, ekoran perlu membari ruang kepada rakan gabungan yang baru.

Pada 2018, Bersatu bukan saja memegang jawatan perdana menteri, tetapi menguasai kerajaan Kedah, Johor dan Perak.

Di Johor, Pengerusi Umno negeri Hasni Mohammad telah mengambil alih jawatan menteri besar daripada Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu. Sahruddin merupakan menteri besar paling singkat dalam sejarah.

Hasni angkat sumpah sebagai MB

Perkara sama dijangka berlaku di Perak, apabila Saraani Mohamad daripada Umno mungkin menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.

Bagaimanapun situasi di Kedah masih tidak jelas.

Keadaan ini telah menghakis kuasa politik naungan Bersatu di Johor dan Perak.

Cara Muhyiddin menangani rasa tidak puas hati yang akan muncul di peringkat akar umbi Bersatu - walaupun dengan jumlah lebih kecil berbanding Umno dan PAS - amat penting memandangkan pemilihan parti itu akan dibuat tidak lama lagi.

Faktor ideologi

Tumpuan juga akan diberikan terhadap bagaimana Muhyiddin mengemudi perkongsian kuasa dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dalam pelbagai segi mempunyai ideologi bertentangan daripada Bersatu, Umno dan PAS.

Walaupun ketika masih dalam BN, parti komponen GPS konsisten menggunakan pendekatan sederhana dan tidak berasaskan kaum dalam politik, tidak seperti tiga parti itu yang mempunyai asas sokongan yang sama, iaitu Melayu-Islam.

Misalnya pendirian kerajaan Sarawak berhubung penceramah kontroversi Zakir Naik. Pemimpin Bersatu, Umno dan PAS sebaliknya mengangkat Zakir untuk meningkatkan imej Islamik mereka.

GPS juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) - isu panas untuk ketiga-tiga parti itu yang sebelum ini mengatakan ia sebagai ancaman kepada Melayu.

GPS memainkan peranan penting dalam pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, apabila di saat akhir membolehkan presiden Bersatu itu mempunyai bilangan sokongan yang cukup di Dewan Rakyat.

Walaupun GPS secara terbuka berkata mereka tidak menuntut jawatan dalam Kabinet, gabungan empat parti itu mungkin menuntut kompromi daripada Muhyiddin demi membuktikan nilai dan kuasa menawar mereka, sebelum pilihan raya negeri yang perlu dibuat paling lewat tahun depan.

Setakat ini, GPS menyatakan tumpuan mereka adalah Perjanjian Malaysia 1963 dan bahagian yang lebih besar dalam kekayaan minyak - dua isu yang tidak ditangani sepenuhnya selama 22 bulan berdirinya kerajaan PH, di mana Muhyiddin juga sebahagian daripadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS