Seorang exco di Perak mendakwa tiga lagi Adun bakal menyertai gabungan Perikatan Nasional.
Ini berikutan kenyataan menteri besarnya, Ahmad Faizal Azumu bahawa kerajaan negeri akan mengikut langkah kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Menurut exco berkenaan yang enggan namanya didedahkan, anggota exco sedia ada telah mengemaskan barang daripada pejabat masing-masing selepas mendapati kerajaan negeri Perak tidak lagi memiliki majoriti.
"Kami tidak lagi memiliki majoriti di Perak selepas pengumuman menteri besar. Tindakan Bersatu menyertai 'kerajaan pintu belakang' di Perak menjadikan akan ada kerajaan baru di Perak.
"Kami (PH Perak) meramalkan sekurang-kurangnya akan ada tiga lagi Adun dari PH akan 'lompat' ke kerajaan baru," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, dua Adun berkenaan kemungkinan dari DAP dan seorang lagi dari PKR dijangka memberi sokongan kepada kerajaan baru.
Kerajaan Perak pada awalnya masih berada di bawah Pakatan Harapan sepanjang krisis politik minggu lalu.
Bagaimanapun, selepas Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri gabungan Perikatan Nasional, Faizal berkata kerajaan Perak akan mengikut jejak langkah berkenaan.
Buat masa ini, Umno dan PAS mempunyai 28 kerusi, manakala Bersatu mempunyai dua kerusi.
Manakala, PH memiliki 28 kerusi, dengan DAP (18), Amanah (6) dan PKR (4).
Adun Tualang Sekah Nolee Ashilin Mohamed, yang kini Adun bebas selepas meninggalkan Umno, tidak menyatakan akan kembali kepada Perikatan Nasional.
Dihubungi kemudian, Adun Kuala Kurau Abdul Junus Jamhari menafikan beliau bakal keluar daripada PKR.
"Saya nafikan," katanya ketika ditanya desas-desus berkenaan.
Malaysiakini sedang menghubungi dua Adun DAP yang dikatakan bakal keluar daripada parti untuk mendapatkan ulasan.
Dalam satu perkembangan terbaru, Umno Perak menamakan pengerusi negeri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baru.
Memetik laporan Astro Awani, Saarani yang merupakan Adun Kota Tampan, berkata mereka kini menunggu untuk dipanggil ke istana Perak.
Menurutnya, Umno telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar Faizal Azumu.
PAS dan Bersatu juga akan mengemukakan calon mereka sendiri untuk jawatan tersebut.