Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
8 mati ditembak di Hanau, Jerman
Diterbitkan:  Feb 20, 2020 11:45 AM
Dikemaskini: 7:52 AM

GLOBAL l Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan lima lagi cedera parah selepas penjenayah tidak dikenali melepaskan tembakan rambang di dua buah kafe shisha di bandar Hanau, barat Jerman, lapor agensi berita Anadolu.

Polis mengesahkan mengenai kejadian itu di Twitter dan telah melancarkan operasi untuk memburu suspek.

"Setakat ini tiada maklumat mengenai motif serangan," kata polis dalam satu kenyataan dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis.

Sementara itu Reuters melaporkan pasukan khas polis telah ditubuhkan untuk memburu penyerang yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Pihak berkuasa yang dilengkapi senjata, turut menutup dua jalan di bandar Hanau. Beberapa ambulans juga dilaporkan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebuah helikopter polis kelihatan berlegar di ruang udara Hanau, iaitu bandar yang terletak di timur hab kewangan Frankfurt.

Hanau terletak kira-kira 20 kilometer dari timur Frankfurt dan dihuni hampir 100,000 penduduk.

Pada Disember 2016, 12 orang terbunuh dalam serangan di Berlin.

Sementara itu, Bernama yang memetik agensi berita Sputnik melaporkan suspek yang melepaskan tembakan itu ditemui mati di rumahnya.

"Suspek ditemui mati di rumahnya di Hanau, selain polis turut menemui satu lagi mayat. Siasatan sedang dijalankan, buat masa ini tiada petunjuk terdapat lebih ramai penyerang," kata polis di Twitter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS