Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin enggan jawab spekulasi sertai Gerakan, minta tumpu ekonomi

Selepas kehadiran Mohamed Azmin Ali di majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan, timbul kembali spekulasi mengenai kemungkinan timbalan presiden PKR itu akan menyertai parti tersebut.

Azmin hadir ke acara Gerakan itu bersama-sama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun ketika ditanya berkenaan perkara itu hari ini, Azmin enggan mengulas lanjut mengenainya dan meminta tumpuan diberikan kepada isu ekonomi.

"Saya minta anda tumpu soal golongan B40, soal ekonomi, kerana itulah keperluan semasa yang perlu diberi perhatian oleh media dan juga semua kementerian.

"Perdana menteri dan jemaah menteri sedang berusaha gigih untuk memastikan masalah kepayahan rakyat ini dapat ditangani segera secara bijaksana.

"Kita ini terlalu banyak sangat politik. Hentikan cakap-cakap politik ini, tumpu soal pembangunan negara dan inilah hasrat kerajaan PH untuk bersama memulihkan ekonomi," katanya ketika ditemui dalam Acara Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau ditanya berkenaan kemungkinan akan menyertai Gerakan bersama-sama kemnya dalam PKR jika naib presiden Zuraida Kamaruddin dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin parti.

Pada 18 Januari lalu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin PKR.

Walaupun tidak mendedahkan kandungannya, Zuraida membayangkan ia berkaitan dengan ucapan yang dibuatnya pada majlis yang menghimpunkan penyokong Azmin di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, pada hari sama Kongres Nasional PKR berakhir.

Ucapan tersebut mengandungi beberapa kritikan terhadap Anwar Ibrahim, termasuk dakwaan presiden PKR itu pernah cuba meyakinkannya bahawa bahawa video seks yang didakwa memaparkan Azmin adalah betul.

Selain Gerakan, Azmin juga pernah didakwa mungkin menyertai Bersatu, ekoran ketegangan antaranya dengan Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS