EKSKLUSIF | Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.
Baca: Ini semata-mata rekaan, kata Najib
Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.
[Baca SD penuh Azilah di sini]
Pengurusan kes ditetapkan pada esok hari.
Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”
Baca: Imbas kembali kes Altantuya: SD dan keterangan mahkamah
Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.”
Azilah juga menjelaskan kenapa beliau baru membuat permohonan menyemak semula kes itu.
Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, dia telah merancang untuk membuat SD itu tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Saya menegaskan di sini bahawa tujuan saya mengemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,” katanya.
“Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan-arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi,” katanya.
Jumpa Altantuya di London'
Azilah berkata, dia ada berjumpa Najib di Pekan pada 17 Oktober 2006.
Dakwanya, Najib mengarahkan dia membunuh “perisik asing.”
Dakwanya lagi, perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokan harinya.
Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang dia dan TPM jumpa di sebuah lobi kondominium di London.
“...saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” katanya.
Azilah mendakwa selepas dia nampak wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, dia ingat pernah bertemuanya bersama Razak dan Najib di kondominium itu.
Najib sebelum ini berulang kali menafikan pernah bertemu dengan Altantuya. Beliau malah bersumpah menafikannya dalam masjid.
Sementara itu, Azilah berkata dia diarahkan, dimaklumkan dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui aide-de-camp beliau ketika itu, DSP Musa Safri.
Dalam afidavitnya, dia menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Alatantunya tetapi Najib dan Musa, dakwanya, berkata operasi itu berkaitan keselamatan negara.
“Selepas operasi sulit tersebut dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan pihak polis dan saya juga diberikan jaminan oleh DSP Musa bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak libatkan nama baik TPM.”
Dalam afidavitnya, dia juga berkata:
“Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia berkenaan operasi sulit tersebut dan saya yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di Mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan.”
‘Maaf, tapi saya tiada pilihan’
Semasa siasatan polis, Azilah berkata pasukan siasatan menyedari “penglibatan” TPM tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, dia mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.
Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa:
Dia menerima arahan lisan, tidak secara bertulis, daripada TPM dan Musa.
Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh ia melibatkan keselamatan negara.
Dia percaya BN mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan dan sebarang cubaan untuk mengingkari arahan TPM atau memburukkan namanya dalam kes itu akan menjadi sia-sia dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadapnya.
Dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya dan bimbang perintah hukuman mati terhadapnya dilaksanakan segera.
Katanya, selepas Mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dia menelefon Musa tetapi diminta bersabar.
“Saya beritahu DSP Musa, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua.’”
Azilah juga berkata dia melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan.
Bekas polis itu juga memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang “meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah”.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Musa dan Razak Baginda untuk mengulas perkara ini.
Malaysiakini juga belum dapat berhubung dengan peguam negara Tommy Thomas berkenaan perkara ini.