Dewan besar Hotel Lee Garden, Hat Yai, malam tadi diisi lebih 80 meja bulat dipenuhi dengan kira-kira 1,000 orang.
Mereka hadir untuk mengenang bagaimana 2 Disember pada 30 tahun lalu menjadi tanggal penuh bermakna buat, khususnya yang terlibat secara langsung dalam usaha dan kejayaan termeterainya Perjanjian Damai Hat Yai 1989.
Pada majlis memperingati perjanjian itu, seluruh perhatian hadirin tertumpuan pada pentas utama, menanti satu per satu atur cara yang dijadualkan berlangsung.
Ia dimulakan dengan acara berdiam diri selama seminit bagi memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam konflik melibatkan ketiga-tiga pihak.
Di pentas utama juga pada awal majlis menempatkan empat tetamu khas yang turut diraikan atas jasa mereka dalam usaha merealisasikan perjanjian damai itu.
Mereka terdiri daripada anggota delegasi perundingan damai iaitu Jeneral Kitti Rattanachaya, Jeneral Akanit Muansawad, Leftenan Kolnel Suriya Sumit dan Pengerusi Gabungan Persatuan Pendamai Hat Yai, Indrajaya Abdullah.
Turut hadir adalah 11 orang senator Thailand, bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dari Thailand dan Malaysia serta ahli keluarga mereka.
Hotel Lee Garden dipilih memandangkan ia menjadi tempat perjanjian itu ditandatangani pada 2 Disember 1989.
Sebagai rekod, majlis memperingati perjanjian damai itu diadakan setiap tahun di Hat Yai. Namun ia dianjurkan dengan skala lebih besar dan meriah setiap lima tahun.
Pada majlis yang meriah itu diisi dengan ucapan oleh Kitti Rattanachaya dan Indrajaya yang sedikit-sebanyak menyentuh mengenai sejarah Perjanjian Damai Hat Yai dan seruan memelihara keharmonian bersama hasil daripada perjanjian itu.
Selain itu majlis makan malam, hadirin juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas yang menampilkan bekas-bekas anggota rejimen askar ke-10 itu.
Antaranya persembahan tarian, nyanyian, dikir barat, tiupan harmonika, dan bacaan puisi.
Keseluruhan majlis dijalankan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Siam, Melayu dan Mandarin.
Tinjauan Malaysiakini mendapat rata-rata hadirin kelihatan gembira dan suasana majlis berlangsung dengan tenang serta meriah.
Mereka kelihatan saling bertanya khabar antara satu sama lain, merakam gambar dan menyifatkan majlis itu sebagai simbolik bagi mengenang sejarah yang tercipta sejak 30 tahun lalu.