Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johor pertimbang bawa masuk pelaburan industri dron - Exco

Kerajaan negeri sedang menimbang untuk membawa masuk pelaburan berkaitan industri dron ke negeri ini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata langkah juga seiring dengan hasrat kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab dron di rantau Asia.

“Idea ini juga pernah diuar-uarkan kepada pemain industri dari negara Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-14, di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung bidang dan bentuk pelaburan baharu yang sedang dirancang kerajaan negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor.

Puah berkata bagi merealisasikan hasrat pelaburan berkaitan industri dron itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tentang bagaimana Johor boleh membantu untuk mempromosikan sektor berkenaan.

Ini penting, katanya, kerana sektor teknologi dron dianggarkan bernilai RM532.7 bilion menjelang 2025.

“Sejak sekian lama, Johor telah menjadi destinasi utama pelaburan terutamanya sektor perkilangan seperti petrokimia malah projek pembuatan yang telah diluluskan bagi Johor menyumbang 35 peratus kepada nilai pelaburan terkumpul bagi negara Malaysia sejak lima tahun lepas.

“Bagaimanapun, pada era masa kini, kerajaan Johor perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan masuk ke (dalam) sektor ekonomi baharu seperti keusahawanan digital dan pelbagai lagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Puah berkata selain industri dron, pihaknya juga akan memberi penekanan terhadap industri halal, blockchain dan lain-lain.

Ini, katanya, selepas mengambil kira industri halal yang kini bukan sahaja membabitkan soal makanan halal malahan telah berkembang ke sektor kosmetik, barangan pengguna, industri farmaseutikal dan logistik.

Industri blockchain pula merupakan industri teknologi masa depan yang menggabungkan pangkalan data dan kriptografi untuk menjadikan satu-satu transaksi pemindahan data dan urus niaga menjadi lebih cepat, selamat dan menjimatkan.

“Blockchain menjadi topik yang hangat diperkatakan di Asia ketika ini. Justeru kita perlu memandang ke hadapan dan mengaitkannya dengan revolusi industri yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS