Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Wong Yan Ke kini disiasat polis susulan laporan terhadap tindakannya membuat protes ketika majlis graduasi semalam.
Dia dipanggil ke balai polis Petaling untuk memberi keterangan tengah hari tadi.
Menurut peguamnya Asheeq Ali, bekas pengerusi UM Association of New Youths (Umany) itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, selepas sepuluh laporan polis dibuat terhadapnya.
Ketika sidang media di luar balai polis itu, Asheeq berkata anak guamnya membuat kritikan yang berasas dan tidak harus dilihat sebagai membuat penghinaan.
"Anak guam saya tak bersalah terhadap dakwaan itu. Dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat atau membuat serangan peribadi kepada naib canselor UM (Abdul Rahim Hashim).
"Dia hanya menyatakan pendirian bahawa kenyataan naib canselor ketika Kongres Maruah Melayu bertentangan dengan kesatuan," katanya.
Asheeq berkata lagi, Abdul Rahim mungkin akan dipanggil untuk membantu siasatan polis dalam masa terdekat.
Peguam itu juga membangkitkan isu di mana UM didakwa menyekat Wong daripada mendapatkan sijil ijazahnya.
"Hanya ada dua keadaan di mana universiti boleh memegang ijazah pelajar. Pertama, jika dia didapati bersalah di mahkamah atas kesalahan serius dan kedua, jika dia didapati cuba mendapatkan ijazah secara tidak sah.
"Wong bukan kedua-duanya. UM perlu segera menyerahkan sijil ijazah anak guam saya. Kegagalan berbuat demikian, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya," katanya lagi, yang memberi masa 24 jam untuk UM memberi respons berkenaan perkara itu.
Ketika majlis graduasi semalam, Wong selepas mengambil skrol ijazahnya turun ke bawah pentas dan membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.
Plakard itu tertera gesaan agar Abdul Rahim meletakkan jawatan dengan mendakwanya menjadi boneka kepada ahli politik, mencabul kebebasan akademik dan gagal menyelesaikan masalah kewangan universiti.
Ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu, Abdul Rahim dilaporkan berkata dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal, selain memberi ingatan agar tiada pihak yang mencabar kontrak sosial.