Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ibarat musim perayaan, Hari Kebangsaan yang diraikan setiap tahun menjadi sasaran peniaga muda menambah pendapatan dengan menjual pelbagai barangan dan produk berkonsepkan kemerdekaan.

Peluang itu direbut bukan sahaja oleh peniaga yang sudah mempunyai jenama sendiri tetapi juga yang baru bertapak dalam dunia perniagaan dengan mengeluarkan pelbagai produk edisi khas terutamanya tudung atau kemeja-T (T-shirt) bertemakan Hari Kebangsaan yang menjadi trend menjelang sambutan hari penting itu hujung bulan ini.

Pengusaha kemeja-T, Tasnim Rozaini, 24, berkata beliau tidak menang tangan apabila menerima ratusan tempahan mulai awal bulan ini daripada pelanggannya terutama guru dan pelajar.

Menerima lebih 300 helai tempahan kemeja-T, beliau berkata pelbagai pilihan corak antaranya bunga raya, tugu negara, Jalur Gemilang dan Menara Berkembar Petronas ditawarkan kepada pelanggannya.

Lebih menarik lagi, pelajar Institut Kemahiran Mara Alor Setar, Kedah yang baru berjinak-jinak menceburi perniagaan kemeja-T tahun ini itu turut menampilkan kelainan apabila menawarkan pakaian dengan corak kemerdekaan berkonsepkan muslimah.

“Paling mendapat sambutan adalah kemeja-T jenis muslimah potongan kembang bawah. Saya berharap pelanggan akan lebih berasa bangga dan bersemangat untuk menyambut merdeka tahun ini ketika memakai baju yang dibeli,” katanya kepada Bernama.

Bagi pengusaha Maliqa Signature, Nurafiza Nadzirah Razali, 30, jualan tudung berkonsepkan Hari Kebangsaan menerima permintaan yang tinggi menjelang bulan kebangsaan berbanding tudung biasa.

Menurutnya, jenis tudung ditawarkan ialah selendang dan bawal jenis kain kapas serta satin dengan corak bertemakan Jalur Gemilang dan mercu tanda negara yang dijual pada harga antara RM18 hingga RM65.

“Saya menerima tempahan sejak bulan Mei lagi, kita ambil tempahan awal kerana melakukan semua proses secara manual termasuk mencetak tudung tersebut, sehari hanya 10 helai tudung dapat disiapkan.

“Pelanggan turut boleh ‘custom made’ (tempah khas) corak merdeka yang mereka suka jika membuat tempahan dengan kami,” katanya yang telah mula menjalankan perniagaan tersebut sejak 2016.

Sementara itu, kakitangan awam, Nur Haneem Hanafi, 30, berkata menjadi perkara ‘wajib’ baginya membeli barangan yang bertemakan kemerdekaan untuk digayakan pada pagi 31 Ogos setiap tahun.

Katanya, dengan memakai baju atau tudung yang bercorak bendera atau konsep kemerdekaan membuatkan beliau lebih bersemangat untuk meraikan hari bersejarah itu.

“Pada bulan Ogos saya mesti akan berbelanja sedikit sama ada untuk kemeja-T atau tudung yang ada corak bendera atau lambang bunga raya…tahun ini saya beli tudung untuk digayakan pada sambutan merdeka di Putrajaya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS