Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes denggi meningkat 89.5 peratus tahun ini
Diterbitkan:  Jul 28, 2019 11:45 PM
Dikemaskini: 3:45 PM

Sebanyak 72,356 kes denggi dilaporkan di Malaysia sepanjang Januari hingga 20 Julai tahun ini berbanding 38,190 kes pada tempoh yang sama tahun 2018, peningkatan drastik sebanyak 89.5 peratus pada 2019.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes kematian yang disebabkan penyakit itu juga meningkat sebanyak 108 kematian berbanding 61 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.

"Kes denggi telah menunjukkan peningkatan bermula bulan Mei tahun ini,” katanya satu dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Dzulkefly menjelaskan negeri Selangor merekodkan kes denggi tertinggi sebanyak 40, 849 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan sebanyak 8,794 kes, diikuti Johor sebanyak 6,057 kes.

Sementara itu menurut Dr. Dzulkefly, sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan juga disambut bersekali dengan Konvensyen COMBI (Communication For Behavioral Impact) dan tema yang dipilih tahun ini ialah “Banteras Denggi, bermula dengan saya”.

Beliau berkata tema ini bertepatan untuk membuktikan peranan setiap individu dan komuniti amat penting bagi aktiviti pencegahan denggi.

Beliau juga menegaskan semua pihak termasuk masyarakat, agensi swasta dan media memainkan peranan penting bagi menjamin kejayaan pencegahan Denggi secara berterusan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS