Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Merujuk hebahan di laman web Kementerian Air, Tanah, Dan Sumber Asli (Kats), Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK), sedang menilai permohonan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk melaksanakan uji kaji lapangan terkawal padi ubah suai genetik (padi GM) supaya tahan terhadap racun glyphosate, serta penyakit padi disebabkan bakteria dan kulat.

Uji kaji ini dilaporkan akan dilaksanakan di stesen mardi Arau, di kawasan Tambun Tulang, Perlis.

Padi GM yang akan diuji ini berasal dari varieti terkenal Malaysia iaitu MR219 dengan ciri tambahan toleran terhadap racun glyphosate dan rentan terhadap bakteria Xanthomonas Oryzae pv Oryzae dan kulat Pyricularia spp.

Padi GM ini bukan dihasilkan dengan kaedah kacukan biasa tetapi dihasilkan di dalam makmal menggunakan teknologi pengubahsuaian genetik dengan mencampurkan bahan DNA tiga hidupan berbeza iaitu padi MR219, bakteria Agrobacterium tumefaciens dan padi Japonica.

Permohonan untuk menaman padi GM di lapangan ini telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesannya kepada manusia dan alam sekitar.

Wujud risiko pencemaran genetik terhadap padi liar dan padi konvensional dengan bahan transgenik diubah suai ini apabila ia mula ditanam di lapangan.

Walaupun penyelidik mendakwa ujian lapangan ini mempunyai langkah-langkah yang akan diambil untuk mengelakkan aliran gen diubah suai keluar ke persekitaran - antaranya dengan melaksanakan ujian di kawasan berpagar - genetik asing ini masih boleh dibawa keluar secara tidak sengaja melalui burung atau haiwan lain, bahkan jentera dan pekerja.

Malah, menurut GM Contamination Register, sehingga 2014 tanaman padi mempunyai bilangan tertinggi insiden pencemaran melalui uji kaji lapangan, walaupun tidak ada padi GM yang ditanam secara komersial setakat ini di mana-mana tempat di dunia.

Namun, apa yang lebih penting kita tidak mahu produk GMO ini dikomersilkan selepas proses uji kaji lapangan.

Proses pengubahsuaian genetik diketahui tidak stabil dan boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini yang tidak terkawal.

Sebagai contoh, terdapat kajian yang menunjukkan genetik yang diubah suai ini telah mengubah tahap metabolit dalam padi dan jagung yang toleran glyphosate.

Jagung tersebut menghasilkan sebatian toksik kepada manusia dalam konteks tertentu. Bahan genetik asing yang memberikan ketahanan terhadap kulat dalam padi GM ini juga boleh menyebabkan risiko ekspresi banyak gen yang lain diubah secara tidak sengaja dan mengganggu ciri-ciri nutrisi, allergik dan ketoksikan tumbuhan serta mengubah sifat agronomi tumbuhan yang boleh menjejaskan pengeluaran hasil padi MR219 dengan banyak apabila dikomersilkan.

Ia sekali gus menjejaskan jaminan bekalan makanan negara.

Padi GM MR219 ini direka khas supaya toleran kepada racun glyphosate kerana benih padi ini nanti akan dijual berpakej dengan racun glyphosate.

Apabila padi ini ditanam di petak sawah dan disembur glyphosate, kesemua rumpai termasuk padi varieti lain dan padi angin akan mati kecuali padi GM ini.

Ini bermakna petak-petak sawah bersebelahan juga tidak ada pilihan melainkan turut menggunakan benih dan racun yang sama.

Ini merupakan satu bentuk eksploitasi kepada petani dengan memaksa mereka membeli dan menggunakan racun dengan lebih banyak yang sudah pasti menguntungkan syarikat racun yang berkenaan.

Ketoksikan glyphosate telah banyak didokumenkan dalam data awam dan data industri. Baru-baru ini Bayer, yang membeli Monsanto, kalah tiga kes mahkamah berprofil tinggi di Amerika Syarikat kerana tidak memberi amaran tentang risiko kanser racun rumpai glyphosate yang mengakibatkan orang ramai menderita penyakit non-Hodgkin Lymphoma.

Strategi penghapusan rumpai menggunakan tanaman yang toleran terhadap racun ini sudah ternyata tidak berkesan sepertimana yang berlaku terhadap padi CL atau nama popularnya padi kebal.

Setelah 10 tahun digunakan, rumpai menjadi semakin rentan dan lama kelamaan racun yang lebih kuat terpaksa digunakan.

Terdapat sangat sedikit maklumat mengenai varieti padi GM ini. Tiada butiran terbuka di peringkat molekul yang tersedia untuk memastikan bahawa pengubahsuaian genetik padi GM ini tidak menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Jika tidak ada bukti sedemikian sepertimana yang disyaratkan dalam Protokol Biokeselamatan Cartagena yang ditandatangani Malaysia pada tahun 2003, maka padi GM ini tidak harus diluluskan untuk uji kaji lapangan di Malaysia.




MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) manakala NURFITRI AMIR MUHAMMAD bertindak sebagai koordinator Forum Kedaulatan Makanan.

Memorandum bantahan mereka disokong oleh 54 NGO.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS