Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menghantar mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada "pembuli dari dunia bebas", menurut Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.
Dalam satu ulasan yang diterbitkan akhbar South China Morning Post hari ini, Syed Saddiq berkata sokongan Mahathir untuk syarikat teknologi telekomunikasi China, Huawei merupakan satu contoh hal sedemikian.
Syed Saddiq menulis usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghukum Huawei atas tuduhan mengintip, yang katanya masih lagi bersifat andaian pada masa ini, merupakan suatu tindakan yang penuh kepura-puraan.
Dakwanya, ini kerana Agensi Keselamatan Negara (NSA) secara rutin mengintai rakyat AS sendiri melalui akses data pelanggan yang diperolehi daripada Facebook, Google dan Apple.
"Sebab sebenar penggubal undang-undang AS menggesa sekatan terhadap Huawei adalah untuk melindungi firma seperti AT & T daripada jatuh.
"Motif Huawei dipacu secara ekonomi, ia mahu mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar dan meningkatkan peluang pekerjaan.
"Oleh sebab itu, terdapat insentif untuk Huawei mengekori secara dekat atau risiko kehilangan asas pelanggannya.
"Resipi sebenar untuk bencana adalah monopoli oleh Amerika Syarikat. Memiliki pesaing seperti Huawei akan membantu semak dan imbang," tulis Syed Saddiq.
Perdana menteri ketika berucap Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-25 mengenai masa depan Asia di Tokyo pada 3 Jun lalu berkata Malaysia tidak akan menutup pintu perkembangan teknologi daripada Huawei.
"Kami akan menggunakan teknologi mereka sebanyak mungkin," katanya.
Perdana menteri berkata Amerika Syarikat mesti menerima kenyataan bahawa keupayaan penyelidikan dan pembangunan teknologi yang hebat juga boleh dijumpai di Timur.
"Jika saya tidak menjadi peneraju, saya akan mengharamkan kamu, saya akan menghantar kapal perang" - itu bukan persaingan. Itu membuat ancaman," kata Mahathir.
Huawei menjadi peneraju pembangun teknologi komunikasi 5G yang secara teorinya memiliki kepantasan memuat turun 125mb per saat.
Bagi Syed Saddiq, pendirian Malaysia berkenaan Huawei ini merupakan suatu yang berprinsip dan tidak boleh dikelirukan sebagai tunduk terhadap kuasa besar dunia.
Beliau menyebut contoh bagaimana Malaysia telah berjaya merundingi semula banyak perjanjian dengan China untuk mengelakkan situasi perangkap hutang.
Menurut Syed Saddiq, selain itu Mahathir juga telah melakukan usaha untuk menjadikan Laut China Selatan bukan zon ketenteraan serta memastikan sisa plastik yang dieksport ke Malaysia dipulangkan ke negara asalnya
"Mesej itu jelas, Malaysia tidak akan tunduk kepada pembuli dari dunia bebas," tulis Syed Saddiq.