ADS
mk-logo
Berita
'Bila tiba masanya' - Calon PN terus elak jawab isu tauliah

Calon Perikatan Nasional bagi PRK Ayer Kuning mengelak daripada menjawab dakwaan yang menuduhnya menipu pihak berkuasa agama Perak untuk mendapatkan tauliah mengajar agama.

Enggan mengulas perkara itu apabila disoal pemberita di beberapa majlis hari ini, Abd Muhaimin Malek sekadar berkata pihaknya akan memberikan jawapan "bila tiba masanya".

“Kalau mengenai isu (tauliah) ini, saya tidak mahu beri sebarang komen.

"Saya hanya akan komen jika anda ingin bertanya tentang harapan saya kepada rakyat," katanya ringkas ketika ditemui Malaysiakini sebelum lawatannya di sekitar kawasan Kampung Raya di Tapah, Perak.

Ketika ditemui pemberita pada satu majlis sebelum ini, Ketua PN Tapah itu berkata pihak lawannya bebas bercakap mengenai perkara itu.

ADS

“Bila tiba masanya, insya-Allah kami akan berikan jawapan,” tambahnya.

Muhaimin, seorang guru besar di sebuah sekolah agama negeri, juga enggan menjawab pertanyaan media mengenai perkara itu selepas pencalonan rasmi semalam.

Awal hari ini, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan Muhaimin telah menipu pihak berkuasa agama negeri untuk mendapatkan tauliah mengajar agama.

Asmuni mengingatkan bahawa sekiranya dakwaan itu benar, ia bukan sahaja menghina institusi agama, tetapi juga derhaka kepada Sultan Perak selaku ketua agama Islam di negeri itu.

Menurut Asmuni, peraturan semasa melarang individu yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya mendapat pentauliahan agama (tauliah) yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti negeri.

Tauliah mengajar diberikan hanya dengan perkenan sultan.

Pengundi Ayer Kuning akan mengundi pada 26 April, dengan Muhaimin sebahagian daripada pertempuran tiga penjuru untuk kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Tapah.

Dia akan menentang Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS dan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS