Program Santai Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota yang sepatutnya diadakan di Melaka esok adalah inisiatif pihak istana sepenuhnya dan tidak ada kaitan dengan anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.
Seorang sumber memberitahu Malaysiakini, majlis yang dirancang untuk mempertemukan empat orang daripada keluarga bangsawan itu dengan masyarakat itu juga tiada kaitan dengan isu Statut Rom dan himpunan yang dijadual Sabtu depan.
Justeru kata sumber terbabit pengumuman dibuat Lokman semalam menyebabkan kemurkaan pewaris-pewaris takhta terbabit.
"Saya tak pasti jika dia (Lokman) nak hijack (tumpang nama) atau dakwa majlis berkenaan adalah hasil inisiatif dia, tapi dalam lain perkataan, dia nak hijack," kata sumber berkenaan.
Menurutnya majlis santai-santai itu berniat baik dengan tujuan membawa empat tengku mahkota berkenaan ke tengah masyarakat dan bergaul dengan mereka.
"Apa yang membuat empat tengku mahkota terbabit - dan sudah tentu keluarga diraja - murka ialah mengaitkan dua majlis tersebut," katanya.
Menurut sumber itu lagi, Melaka dipilih sebagai lokasi kerana penganjur berpendapat ia adalah tapak yang neutral, selain berada di antara Johor dan kawasan lain sehingga memudahkan orang ramai hadir.
"Dan ia sepatutnya majlis yang menarik dan dianjurkan oleh empat tengku mahkota terbabit.
"Tapi saya tak tahu macam mana maklumat ini bocor kepada Lokman dan kalau tengok pada hantaran Facebook dan mesej-mesej dia, dia akan kaitkan program ini dengan satu lagi majlis pada 4 Mei depan sedangkan ia sama sekali tak ada kaitan," katanya.
Mesej yang dirujuk sumber tersebut ialah yang dihantar Lokman. Antara lain ia menyatakan: "Semua rakyat dijemput untuk memeriahkan sesi minum petang bersama Tengku Mahkota Johor, Tengku Mahkota Pahang, Raja Muda Selangor dan seorang lagi tengku mahkota atau raja muda. Kalau nak tahu putera keempat dari mana, datang beramai-ramai OK! Kita berselfie bersama mereka.
"Saya akan hadir sesi teh tarik ini dan saya juga akan hadir memberikan sokongan kepada Perhimpunan Raksaksa Membantah Statut Rom: Mempertahan Sistem Demokrasi Berparlimen Dan Raja Berperlembagaan di Dataran Merdeka jam 2 petang Sabtu depan 4hb Mei 2019."
Sumber itu yang rapat dengan istana Johor berkata cara Lokman mengumumkan sesi tersebut seolah-olah keempat-empat putera mahkota terbabit merestui atau menganjurkan himpunan Sabtu depan.
"Dia kena hormatlah... sekurang-kurangnya biar tengku mahkota umumkan (sendiri)," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Lokman berhubung kenyataan tersebut.